200 buah asrama sekolah akan dipasang dengan CCTV - Utusan Malaysia

200 buah asrama sekolah akan dipasang dengan CCTV

MOHD. Azam Ahmad (kiri) semasa menyampaikan amanat kepada pengetua yang hadir ke Majlis Perasmian Penutup Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Kali Ke-63, Kota Bharu, Kelantan hari ini.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sebanyak 200 buah asrama sekolah di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak akan dipasang dengan kamera televisyen tertutup (CCTV) dalam masa terdekat sebagai usaha memperketat tahap keselamatan pelajar.

Ketua Pengarah Pendidikan Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, pemasangan itu akan menggunakan peruntukan sebanyak RM3 juta sebagaimana yang telah diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.

Menurutnya, pemasangan itu mengambil kira pelbagai faktor termasuk jumlah pelajar asrama yang ramai dan memerlukan kepada tindakan tersebut dijalankan dengan kadar segera.

“Pemasangan CCTV itu kita akan usahakan dalam masa terdekat. Pada masa sama, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian akan mendapatkan nasihat dan pandangan daripada pakar dalam hal ehwal keselamatan sebelum pemasangan CCTV di asrama sekolah.

“Nasihat dan pandangan pakar itu penting bagi mengelakkan pelanggaran berkaitan hak kanak-kanak bawah umur di sekolah. Kita tidak mahu timbul isu lain selepas ini apabila ada yang mengatakan CCTV dipasang di dalam tandas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Kali Ke-63 di sini hari ini.

Mohd. Azam memberitahu, pihaknya tidak mahu pemasangan CCTV itu menganggu privasi pelajar kerana ada akta yang perlu dipatuhi.

“Selepas segala aspek itu dibincangkan, baru kita tetapkan lokasi yang sesuai untuk memasang CCTV di asrama sekolah,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd. Azam berkata, pihaknya turut melaksanakan audit keselamatan dengan mengarahkan jemaah nazir turun ke sekolah secara mengejut sama ada waktu malam atau siang untuk melihat apakah elemen yang mengganggu keselamatan pelajar.

“Selain nazir, kita turut arahkan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk membuat lawatan mengejut ke asrama. Setiap minggu laporan audit keselamatan ini akan salurkan kepada menteri dan pihak kementerian untuk tindakan lanjut,” katanya.-UTUSAN

050925-Klt-KPM CCTVasrama-Done Online

 

 

-habis-

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN