KUALA LUMPUR: Selepas tiga tahun menyepi, penyanyi, Ziha Salleh, 30, kembali ke dunia nyanyian dengan lagu baharu berjudul Romansa.
Nor Aziha Mohd Salleh yang ditemui semasa pelancaran lagu tersebut memaklumkan menerusi Romansa, impiannya untuk merakamkan lagu yang berkonsepkan City Pop akhirnya tercapai.
“Saya membesar dengan nyanyian Datuk Sheila Majid yang pernah muncul dengan lagu-lagu bergenre City Pop. Cuma dahulu, konsep tersebut tidaklah sepopular sekarang ini.
“Dan sepanjang bergelar penyanyi, tidak pernah pula saya terfikir untuk rakam lagu City Pop.
“Bila komposer dan penulis lirik Allan Anderson memperdengarkan demo Romansa, saya terus jatuh cinta dengan lagu ini,” katanya.
Kata Ziha lagi, muncul dengan lagu baharu selepas tiga tahun menyepi bukan sebahagian perancangannya tahun ini.
“Allan dengarkan kepada saya lagu Romansa, kami rakam dan akhirnya lancarkan.
“Semua ini kebetulan. Saya pun tidak rancang untuk keluar lagu tahun ini. Tapi mungkin tahun inilah paling sesuai untuk saya kembali aktif menyanyi,” ujarnya.- UTUSAN