BANGI: Penyanyi Zehra Zambri, 38, meluahkan rasa syukur kerana urusan perceraiannya dengan Nur Mohd Iqwan Samsudin, 42, akhirnya menemui titik penyelesaian apabila suaminya itu bersetuju melafazkan talak pada 20 Ogos ini.
Katanya, Nur Mohd Iqwan selaku defendan bersetuju melafazkan cerai terhadapnya hari ini, namun ditangguhkan mahkamah ke tarikh berkenaan disebabkan keadaan dirinya yang tidak suci.
“Lega juga sebenarnya, sebab agak lama kes ini berpanjangan. Tapi saya akur hari ini tidak cerai disebabkan keadaan saya yang tidak suci.
“Apa pun, saya tetap berharap 20 Ogos ini menjadi titik penamat bagi semua ini.
“Sebelum ini suami maklumkan sedia lafazkan (cerai), cuma bersyarat. Tapi untuk kali ini, Alhamdulillah dia bersetuju tanpa perlu saya gugurkan empat tuntutan seperti yang dimintanya,” katanya yang ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat di sini, tengah hari tadi.
Terdahulu, Zehra dan Iqwan menyertai Majlis Tahkim untuk menyelesaikan pertikaian kedua pihak dan ia diselesaikan secara lantikan hakam oleh mahkamah.
Ditanya mengenai tuntutan lain seperti nafkah dan hak penjagaan anak (hadanah), Zehra berkata perkara itu akan dibincangkan selepas urusan perceraian diselesaikan.
Terdahulu, Zehra memfailkan permohonan cerai pada Mac tahun ini berserta lima tuntutan antaranya berkaitan nafkah dan berlaku keganasan dalam rumah tangga.
Bagaimanapun, mahkamah hari ini meneruskan perbicaraan perceraian mereka secara lantikan hakam.
Pasangan suami isteri itu mendirikan rumah tangga pada 10 November 2021. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata.
Zehra pada Oktober 2017 pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri namun perkahwinan mereka hanya bertahan selama enam bulan.
Iqwan sementara itu juga pernah berkahwin, namun bercerai dan memiliki dua cahaya mata daripada perkahwinan tersebut. – UTUSAN