PETALING JAYA: Ketua Portfolio Pendidikan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Saifuddin Abdullah menggesa siasatan dibuat terhadap Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) dan semua warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha.
Ia susulan tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) menempatkan mereka sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah, untuk membolehkan siasatan kematian Zara Qairina Mahathir, 13, dijalankan secara telus.
“Siasat mereka, bukan sekadar tukar tempat,” katanya di laman X hari ini.
KPM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan,akan menempatkan sementara Pengetua, PK HEM serta semua warden SMKA Tun Datu Mustapha di JPN Sabah sehingga siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai.
Keputusan itu diambil susulan pengumuman PDRM bahawa Pasukan Petugas Khas Bukit Aman telah mengambil alih siasatan kes kematian Zara Qairina.
“KPM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dilaksana secara menyeluruh, teliti dan tuntas.
“Sebagaimana yang telah ditegaskan, kes tersebut merupakan keutamaan KPM pada masa ini,” katanya. – UTUSAN







