PETALING JAYA: Pemergian tragis pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Papar, Sabah yang puncanya masih menjadi tanda tanya berjaya menyatukan hati rakyat negara ini yang pelbagai kaum dan agama.
Ini dapat dilihat daripada perhimpunan yang diadakan oleh penduduk di beberapa bandar di Sabah dan juga suasana pekarangan Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu, Sabah kelmarin yang dipenuhi orang ramai yang datang dengan harapan mendapatkan maklumat terkini berhubung kematian pelajar itu.
Malah, sepanjang proses itu, ada yang membuat siaran langsung di media sosial, memaparkan suasana di luar hospital dan di kawasan perkuburan dari pagi hinggalah ke tengah malam termasuk yang sanggup berhujan.
Proses bedah siasat yang berlangsung lebih 8 jam kelmarin turut menjadi tumpuan apabila peguam keluarga memaklumkan terdapat beberapa kecederaan pada tubuh remaja berusia 13 tahun itu, sebagaimana yang tersebar di media sosial hasil pemerhatiannya sepanjang proses bedah siasat.
Pendedahan itu menguatkan lagi desakan supaya pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh.
Tanda pagar #JusticeForZaraQairina menjadi trending di pelbagai platform media sosial sejak tiga minggu lalu.
Ribuan pengguna termasuk personaliti terkenal dan ahli politik memuat naik ucapan takziah dan menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga.
Ada yang menganjurkan bacaan Yasin dan doa selamat di masjid, surau serta rumah kediaman demi keadilan untuk Zara Qairina.
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga menyatakan kesediaan membantu dari segi khidmat guaman dan sokongan lain bagi memastikan kebenaran dapat dibongkar.
Peguam terlibat, Shahlan Jufri berkata, beliau berada di bilik bedah siasat selama lapan jam bagi memerhati keseluruhan prosedur yang dijalankan.
Selepas bedah siasat selesai, jenazah Allahyarham dibawa pulang untuk dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sipitang mengambil masa selama setengah jam selepas prosedur bedah siasat selesai dilakukan dengan diiringi ratusan orang.
Walaupun hujan, ia tidak menghalang orang ramai termasuk keluarga dan kenalan Zara Qairina menunggu di sekitar kawasan perkuburan sehingga pengebumian selesai.
Sementara itu, polis mengesahkan satu pasukan khas dari Bukit Aman dihantar ke Polis Kontinjen Sabah bagi mengambil alih siasatan kes pelajar sekolah agama tersebut.
Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Unit Komunikasi Korporat PDRM berkata, pasukan khas tersebut membabitkan sembilan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“Penghantaran pasukan khas ini adalah sebahagian daripada komitmen PDRM untuk memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan semalam.
Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah pada pukul 3 pagi, 16 Julai lalu.
Pada 31 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan pihaknya tidak menolak kemungkinan unsur buli terbabit dalam kejadian berkenaan. – UTUSAN










