Yayasan Inovasi Malaysia bawa Jejak Inovasi ke Kedah

Yayasan Inovasi Malaysia bawa Jejak Inovasi ke Kedah

SHARMILA Mohamed Salleh (tengah) melihat pembuatan tanjak dan tengkolok dihasilkan oleh Jalwani Fairuz Abd. Razak di Kampung Telaga Tengah, Mukim Gunong di Alor Setar, semalam. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) meneruskan langkah baharu apabila program Jejak Inovasi kembali digerakkan di Kedah sebagai platform mencungkil potensi produk tempatan yang boleh diperkasa menerusi pendekatan inovasi sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Dr. Sharmila Mohamed Salleh berkata, hasil lawatan ke beberapa pengusaha tempatan mendapati masih banyak ruang penambahbaikan, khususnya dalam aspek penghasilan, kebersihan serta model perniagaan produk tradisional.

Katanya, antara produk yang diberi tumpuan dalam Jejak Inovasi Sosial Zon Utara kali ini ialah pembuatan belacan, kraftangan daripada barangan terbuang, tanjak dan tengkolok mini selain ketupat daun palas.

Menurut beliau, belacan yang begitu sinonim dengan masyarakat tempatan wajar dipertingkatkan cara penghasilannya agar lebih bersih dan cekap.

“Penggunaan mesin penge­ring yang tersedia dalam ekosistem YIM, katanya, boleh membantu mempercepatkan proses, meningkatkan kualiti serta membuka peluang pasaran lebih luas,” katanya.

Selain itu, penghasilan kraftangan menggunakan kaca nako dan cebisan kain fabrik untuk menghasilkan tanjak mini turut menarik perhatian kerana ia seiring dengan prinsip Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menekankan kelestarian serta pengurangan sisa buangan.

Sharmila berkata, walaupun bentuk atau corak tanjak mini berasaskan kain lebihan mungkin kelihatan seragam, nilai tambah tetap boleh diwujudkan melalui model perniagaan yang lebih kreatif, termasuk strategi pemasaran dan pendekatan upscaling.

“Inovasi bukan sahaja tertumpu kepada penghasilan produk baharu, malah model perniagaan berbeza juga me­rupakan satu bentuk inovasi yang mampu melonjakkan keupayaan usahawan tempatan,” katanya.

Jejak Inovasi yang mula diperkenal pada 2011 kini digerakkan semula melalui pendekatan lebih menyeluruh dengan agensi itu bukan sahaja mencari inovasi sedia ada, malah melibatkan penyelidik universiti, syarikat pemula dan inovator tempatan untuk bersama-sama menawarkan penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi pengusaha.

Hingga kini YIM memiliki ribuan data inovator dengan lebih 200 penerima dana yang berjaya memanfaatkan soko­ngan tersebut bagi menambah baik produk masing-masing.

Lebih penting lagi apabila inisiatif ini mampu meningkatkan nilai tambah produk setempat, memperkasa usahawan kecil, memelihara keunikan warisan budaya dan secara tidak langsung menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta kesejahteraan komuniti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN