KUALA PILAH: Penggunaan kenderaan serba rupa bumi (ATV) lazimnya hanya ditunggang oleh golongan muda, namun di Kampung Simat, Johol di sini, warga emas menggunakannya untuk membawa pengunjung meredah laluan desa sambil menikmati suasana kampung.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Simat, Idris Zakaria, 51, berkata, idea tersebut tercetus selepas kawasan itu memiliki sebuah tapak perkhemahan yang sering menerima kunjungan.
“Puncanya pemilik tapak perkhemahan ada sebuah ATV kecil, ada pengunjung yang datang berkhemah di sini kata seronok kalau dapat ronda kampung dengan ATV.
“Jadi, daripada situ saya mula terfikir dan secara kebetulan kerajaan umumkan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk program Sejati Madani.
“Saya terus membuat permohonan selepas semua ahli JPKK bersetuju dan pemilik tapak perkhemahan juga memberi keizinan untuk kami meletakkan ATV di tapak perkhemahannya itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Idris berkata, rata-rata ahli JPKK di kampungnya terdiri daripada warga emas yang juga merupakan pesara kerajaan.
“Mereka bukan sahaja membantu menguruskan perjalanan pelancong malah ada yang menunggang sendiri ATV mengelilingi laluan sejauh 7.5 kilometer (km),” katanya.
Menurut Idris, dia inginkan warga emas dapat merasai sendiri pengalaman menunggang ATV yang sering dimonopoli oleh golongan belia.
“Selain menjadikan aktiviti itu sebagai tarikan ekopelancongan, saya juga ingin memberi warga emas sekitar kawasan Johol untuk merasai sendiri pengalaman yang dulu tiada pada zaman mereka.
“Walaupun ada yang tidak berani menunggang, cukup sekadar menjadi penumpang. Sekurang-kurangnya mereka tetap rasa seronok apabila masuk ke trek yang mencabar apatah lagi dapat menikmatinya di kampung sendiri,” katanya.
Katanya, dengan menaiki ATV, pengunjung berpeluang mengelilingi kampung dan kebun getah sambil menikmati pemandangan Gunung Tampin yang menjadi sebahagian Banjaran Titiwangsa.
“Dua bulan lepas, seorang pelancong dari Jerman datang bersama anaknya selepas tahu tentang aktiviti menunggang ATV melalui media sosial. Dia kata pengalaman ini sangat menyeronokkan kerana dapat menikmati pemandangan kampung dan alam semula jadi,” katanya. – UTUSAN










