Warga Bangladesh disyaki ‘ulat’ emas dan telefon ditahan di KLIA1 - Utusan Malaysia

Warga Bangladesh disyaki ‘ulat’ emas dan telefon ditahan di KLIA1

AGENSI KAWALAN DAN PERLINDUNGAN SEMPADAN MALAYSIA (AKPS)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Empat lelaki warga Bangladesh ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan ‘ulat’ emas dan telefon pintar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1) dekat sini, semalam.

Penahanan dilakukan dalam operasi dengan kerjasama Bahagian Keselamatan Penerbangan (AVSEC) melalui hasil risikan awal dan pemprofilan oleh AVSEC.

AKPS dalam kenyataan berkata, pihaknya merampas pelbagai barangan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM187,742.10.

“Antara barangan yang dirampas termasuk tiga barang kemas dipercayai emas bernilai RM160,000, 12 telefon pintar dianggarkan bernilai RM22,700, wang tunai sebanyak RM5,042.10 serta lima pasport antarabangsa milik warga Bangladesh.

“Kesemua suspek ditahan dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63. Tiga daripada mereka disyaki melanggar Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang diberikan,” katanya.

Katanya, seorang lagi ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) (c) akta sama kerana memasuki dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit sah.

Laporan polis juga dibuat susulan penahanan dan rampasan berkenaan.

“Kesemua individu diserahkan kepada Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen Selangor untuk siasatan lanjut serta proses pendakwaan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.

“Kejayaan ini membuktikan kerjasama dan keberkesanan pasukan keselamatan di pintu masuk negara dalam membanteras aktiviti penyeludupan serta menyekat kemasukan elemen tidak diingini yang boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN