Wanita minta siasat kematian anak selepas sertai latihan Palapes - Utusan Malaysia

Wanita minta siasat kematian anak selepas sertai latihan Palapes

UMMU Haiman Bee Daulatgun (kiri) menunjukkan gambar anaknya dalam sidang akhbar bersama Naran Singh di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang wanita meminta siasatan dilakukan terhadap punca kematian anaknya selepas menyertai latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor, baru-baru ini.

Pelajar tersebut, Syamsul Haris Shamsudin, 22, didakwa meninggal dunia atas sebab kekejangan otot kira-kira pukul 4 petang pada 28 Julai lalu ketika pasukannya menjalani latihan di lapang sasar Ulu Tiram, Johor.

Ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, berkata, dia ke Hospital Kota Tinggi iaitu lokasi anaknya dimasukkan dan mendapati keadaan mayat berbeza daripada apa yang dimaklumkan kepadanya.

“Saya lihat jenazah anak saya sangat menyayat hati. Bagi saya keadaan anak tidak selaras dengan alasan kematian yang dimaklumkan kepada saya sebelum itu.

“Saya lihat, keadaan anak saya berdarah di leher dan hidung. Badannya ada kesan lebam,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Jelasnya, kerana tidak dapat penjelasan yang memuaskan mengenai proses bedah siasat anaknya serta mengesyaki sesuatu berlaku terhadap arwah Syamsul Haris, dia membuat laporan polis.

Wanita itu yang merupakan ibu tunggal menuntut ketelusan proses untuk merungkai punca kematian anaknya sulungnya itu.

Dia menyatakan anaknya tidak memaklumkan pernah dibuli oleh sesiapa, namun pernah diceritakan mendakwa ada orang lain tidak menyukainya.

Jenazah Syamsul Haris dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Selangor.

Sementara itu, Peguam Datuk Naran Singh berkata, kes tersebut dipandang serius dan segala proses siasatan boleh dipercepatkan dengan diberikan keutamaan yang berat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN