Walaupun hasrat jadi deejay tidak kesampaian, Syed Saddiq terima tawaran lebih RM1 juta - Utusan Malaysia

Walaupun hasrat jadi deejay tidak kesampaian, Syed Saddiq terima tawaran lebih RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bagai reda dengan ketentuan takdir, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq akur apabila stesen radio, Era FM mengumumkan terpaksa membatalkan kerjasama dengannya sebagai penyampai.

Menurut Saddiq, dia berasa teruja untuk memulakan khidmatnya sebagai deejay yang dipercayai sepatutnya bermula pada hari ini namun, terpaksa melupakannya kerana kerjasama itu tidak dapat diteruskan atas sebab-sebab tertentu.

“Pada hari Khamis lepas, saya telah menandatangani kontrak dengan Era sebagai salah seorang DJ mereka. Era teruja, saya pun teruja. Saya teruja sebab mahu berganding dengan penyampai-penyampai tersebut.

“Saya nak bawa perspektif edutainment, sambil mendidik kita menghibur. Berunding, tandatangan kontrak, sesi bergambar dan penggambaran video semua sudah.

“Mama dan ayah sudah berancang nak datang untuk pengumuman hari ini. Anak-anak Muar yang bakal dapat biasiswa pun sudah dimaklumkan.

“Tetapi semalam saya dimaklumkan oleh pihak tersebut sebab tertentu kerjasama ini tidak dapat diteruskan,” katanya.

Saddiq bagaimanapun memuji ketelusan stesen radio tersebut kerana tetap menepati persetujuan mereka untuk menyalurkan bantuan kepada sekumpulan mahasiswa universiti.

“Tapi saya hargai kejujuran mereka dalam hal ini. Era dan Astro tetap berbesar hati mahu lunaskan bayaran kontrak yang dah ditandatangani. Saya akan salurkan 100 peratus jumlah itu ke tabung biasiswa Muar seperti yang dijanjikan.

“Sedih? tidak. Sebab saya percaya satu pintu rezeki tertutup, 10 lagi dibuka. Dan hari yang sama juga saya dapat pelbagai tawaran berbeza-beza berjumlah RM1,060,000.

“Sebab itu kawan-kawan ingat satu saja, percaya dengan perancangan Allah, trust Allah plan, setiap kejatuhan menjadikan seseorang itu lebih kuat,” jelasnya.

Sebelum ini, Era FM memaklumkan impian ramai untuk melihat Ahli Parlimen Muar itu bergelar penyampai segmen 3 Pagi Era tidak dapat dilaksanakan buat masa ini susulan masalah yang tidak dapat dielakkan.

Era dalam satu kenyataan hari ini, rancangan tersebut tidak dapat diteruskan meski pun sudah menandatangani perjanjian namun, tetap akan melunaskan semua perjanjian yang sudah dimeterai termasuk isu bayaran.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN