Walau sudah berkawan lama, Asyraf Khalid bakal saman Caprice

Walau sudah berkawan lama, Asyraf Khalid bakal saman Caprice

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usahawan dan selebriti media sosial, Asyraf Khalid, bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap penyanyi rap, Caprice dalam masa terdekat.

Tindakan itu diambil selepas Caprice atau Ariz Ramli dikatakan melakukan serangan video selepas Asyraf memuat naik potongan audio siarnya ‘Apa Cerita?’ memaparkan tetamu jemputan yang didakwa pernah melakukan kekerasan.

Menurut peguam yang mewakili Asyraf Khalid, Abdul Hakeem Aiman, pihaknya akan menghantar surat saman di bawah undang-undang Akta Fitnah terhadap Caprice.

“Hasil perbincangan, kami bersetuju bahawa satu tindakan sivil di bawah Akta Fitnah, saman malu yang bakal difailkan dalam masa terdekat.

“Buat masa ini kami tidak akan memberikan sebarang komen berkenaan potensi tindakan itu bagi menghormati sistem kehakiman.

“Sebaik sahaja saman dan tindakan sivil difailkan, jika Asyraf benarkan, kami akan kongsikan kepada media sekiranya dirasakan perlu membuat liputan,” katanya.

Abdul Hakeem ditemui semasa sidang media khas tindakan undang-undang Asyraf Khalid berkenaan fitnah dan gangguan siber di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Asyraf atau Muhammad Asyraf bin Khalid, 33, mengakui kecewa dengan serangan yang dilakukan Caprice mengenangkan mereka sudah saling mengenali sejak 15 tahun lalu.

Jelas Asyraf, tindakan Caprice itu bukan sahaja berniat buruk malah mencalarkan reputasi baiknya selama ini.

“Saya dengan Caprice pernah berkawan dan saling kenal sejak umur saya 18 tahun. Malah, kami pernah bekerjasama. Perkara ini mengejutkan saya, takkan kawan buat begitu?

“Ketika dia marah-marah, saya ada menghubunginya dan menjelaskan apa yang terjadi.

“Kami tidak akan teruskan episod audio siar itu, namun Caprice masih teruskan serangan sampai tengah malam,” jelas Asyraf.

Menurutnya lagi, tindakan Caprice itu tidak hanya menjejaskan perniagaannya malah menggangu emosi kerana menjadi mangsa cacian.

“Banyak orang mesej panggil saya ‘pedo’, perogol, panggil saya budak gemuk dan hina saya dengan cakap kalau bukan sebab bapa, saya bukan sesiapa.

“Saya sedih kerana perlu uruskan pemegang saham kerana mereka akan telefon saya, perkara ini sangat mengganggu emosi.

“Saya juga perlu minta mintaa maaf kepada pasukan saya kerana tidak dapat buat kerja dengan baik dua hari ini,” katanya yang turut membuat laporan polis di Balai Polis Pudu, semalam.

Bagaimanapun, Asyraf juga mengakui mungkin dirinya ada melakukan khilaf namun berusaha untuk memperbaiki keadaan dengan tidak memuat naik episod audio siar itu.

“Mungkin saya ada khilaf juga dari segi masa. Namun ketika ada yang tegur dan beri respons saya tidak patut teruskan, isu itu sensitif, saya terima.

“Saya betulkan dan ambil keputusan untuk tidak menayangkan episod tersebut,” katanya.

Terdahulu, Caprice menyelar tindakan Asyraf kerana mengundang tetamu yang didakwa pernah melakukan ugutan terhadap dirinya dan keluarga. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN