KUALA TERENGGANU: Semua murid di seluruh negara akan diwajibkan melaungkan ungkapan ‘Kami Anti Buli’ sebelum dan selepas sesi persekolahan dalam usaha membanteras gejala itu.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, langkah itu dilaksanakan dalam masa terdekat bagi membina semula mentaliti dan psikologi pelajar selain mewujudkan suasana sekolah yang selamat.
“Semua pengetua dan guru besar perlu pastikan sebelum masuk kelas, murid melaungkan ‘Kami Anti Buli’. Begitu juga sebelum tamat sesi sekolah. Inilah perang yang kita isytiharkan terhadap budaya buli,” katanya selepas Majlis Apresiasi Guru Madani dan Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tingkatan Enam di Hotel Permai, Batu Burok, di sini, hari ini.
Menurut Mohd. Azam, Kementerian Pendidikan (KPM) turut melaksanakan audit keselamatan di semua sekolah yang diselenggarakan oleh Jemaah Nazir.
“Saya sudah arahkan laporan dibentangkan kepada saya setiap minggu supaya tindakan segera dapat diambil bagi mengelakkan kes buli dan gangsterisme, sama ada di sekolah harian atau asrama,” ujarnya.
Katanya, kementerian juga akan menambah bilangan warden asrama, memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik serta memperkukuh prosedur keselamatan sedia ada.
Mengulas dakwaan KPM tidak menyahut kempen ‘Justice for Zara Qairina’, Mohd. Azam berkata, pihaknya bersimpati dengan tragedi yang menimpa pelajar berusia 13 tahun itu.
“Kami amat simpati dan sedih dengan apa yang berlaku. Keadilan untuk Zara Qairina adalah keutamaan, tetapi pada masa sama kita mesti pastikan tiada lagi ‘Zara kedua’ dan seterusnya berlaku di sekolah,” tegasnya.
Susulan insiden itu, KPM turut melaksanakan pemeriksaan mengejut di sekolah dan asrama bagi memastikan keselamatan murid terjamin.
Beliau berkata, pemeriksaan tersebut dilakukan oleh beliau sendiri, pengarah pendidikan negeri dan pegawai kementerian tanpa sebarang notis awal. – UTUSAN










