KUALA LUMPUR: Rundingan pembahagian kerusi UMNO bersama Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang telah dimuktamadkan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perbincangan mengenai kerjasama dengan gabungan parti politik lain masih berjalan dan akan diputuskan dalam masa terdekat.
“Kita sentiasa meneliti dan memuktamadkan perkara berkaitan pembahagian kerusi.
“Rundingan dengan PH telah selesai, manakala bagi gabungan lain ia bergantung kepada hasil rundingan yang sedang diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato’ Onn Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur semalam.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mempunyai 73 kerusi, dengan UMNO kini memegang 11 kerusi, manakala PH mempunyai tujuh kerusi.
Pada 28 Julai lalu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr. Fuziah Salleh, turut mengesahkan rundingan kerusi antara PH dan Barisan Nasional (BN) bagi PRN Sabah telah selesai.
Sementara itu, pada 10 Ogos, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun, memaklumkan majlis tertinggi gabungan itu telah bersetuju untuk bekerjasama dengan PH pada PRN Sabah. – UTUSAN