KUALA LUMPUR: UMNO disifatkan rakan strategik paling sesuai bagi mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan hari ini.
Veteran PKR, Hassan Abdul Karim berkata, selain daripada orang Melayu boleh berasa selamat dalam keadaan UMNO kini berada dalam barisan kerajaan, katanya, parti itu juga boleh kekal relevan jika terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
“Dengan adanya UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, maka rakyat bumiputera Melayu dan Islam rasa selamat. Begitu juga dengan adanya DAP dalam Kerajaan Perpaduan, maka rakyat bukan bumiputera khususnya Cina dan India rasa selamat.
“PKR yang pelbagai bangsa berteraskan sokongan Melayu Islam bersama Parti Amanah membawa aliran politik sederhana, demokratik yang menekankan keadilan untuk semua.Walaupun kelihatan macam rojak tetapi inilah resepi terbaik untuk kini dan masa depan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan UMNO dijangka sukar untuk kekal dominan jika memilih bekerjasama semula dengan Perikatan Nasional (PN) berbanding terus berada dalam Kerajaan Perpaduan bersama PH.
Pakar geostrategi, Dr. Azmi Hassan berkata, pertindihan hampir 80 peratus kerusi di Semenanjung antara UMNO, Pas dan Bersatu akan menyukarkan UMNO menguasai kawasan berkenaan walaupun parti itu diunjurkan mampu memenangi sekitar 40 kerusi.
Hassan turut mengulas sejarah UMNO yang mempunyai lebih tiga juta anggota serta pengalaman dalam mentadbir kerajaan.
“Lebih dari itu semua, UMNO ialah parti Melayu Islam yang besar dan kuat ke akar umbi dan pernah memerintah negeri-negeri Melayu di pantai timur dan di utara Semenanjung.
“UMNO solo dan bersendirian dalam keadaan politik yang sudah berubah dengan suara dan aspirasi rakyat Sabah serta Sarawak yang semakin lantang, maka UMNO perlu gandingan dengan PH yang pelbagai bangsa, disokong kuat oleh rakyat pelbagai kaum di Semenanjung dan juga di Borneo (Sabah dan Sarawak),” ujarnya. – UTUSAN










