PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) digesa menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja supaya lebih berkesan.
Jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr. Muhammad Yassin berkata, garis panduan itu sepatutnya sudah lama diperkenalkan di seluruh fasiliti KKM bagi mengekang isu buli sejak sekian lama.
Menyambut baik perkara itu, beliau berkata, KKM kini perlu memberi penekanan kepada pelaksanaan garis panduan tersebut jika berlaku lagi kes buli di mana-mana fasiliti di bawah seliaannya.
“Kami menyambut baik garis panduan ini yang kami fikirkan sepatutnya sudah ada sekian lama dahulu. Jadi tahniah diucapkan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad untuk perkara ini.
“Bagaimanapun, apa yang lebih penting kini ialah pelaksanaan garis panduan tersebut terutamanya sekiranya berlaku insiden buli membabitkan warga kerjanya.
“Bagi tujuan itu, untuk menambah keyakinan terhadap garis panduan yang diperkenalkan, KKM perlu menubuhkan jawatankuasa khas yang bertanggungjawab memantau pelaksanaannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa khas itu akan meningkatkan lagi keyakinan seluruh struktur warga KKM terhadap keberkesanan garis panduan tersebut serta menjadi semak dan imbang kepada pelaksanaannya.
“Pada masa sama, KKM juga perlu memastikan garis panduan tersebut tidak hanya merangkumi golongan tertentu sahaja sebaliknya melindungi keseluruhan struktur tenaga kerja dalam sektor kesihatan supaya isu buli dapat hentikan sepenuhnya,” katanya.
Khamis lalu, Dr. Dzulkefly melancarkan Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja KKM sekali gus menjadi kementerian pertama yang memperkenalkannya.
Beliau berkata, pelaksanaan garis panduan itu membuktikan komitmen KKM menolak budaya buli melalui dasar toleransi sifar. – UTUSAN










