Tiga tahun hadap cemuhan, Aliff Syukri mahu jadi lebih baik

Tiga tahun hadap cemuhan, Aliff Syukri berazam mahu jadi lebih baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selebriti dan usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri meluahkan rasa syukur selepas dibebaskan daripada empat tuduhan memuat naik kandungan video perilaku sumbang di media sosial, hari ini.

Perkara itu katanya, sekali gus menamatkan kemarau penantian panjangnya selepas tiga tahun berdepan proses perundangan yang penuh cabaran.

Menurut Aliff, keputusan mahkamah yang memihak kepadanya itu memberi kelegaan besar selepas melalui pelbagai dugaan, termasuk tekanan mental dan cemuhan masyarakat.

“Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana selepas tiga tahun berjuang di mahkamah, akhirnya saya dibebaskan daripada segala pertuduhan dan disahkan tidak bersalah.

“Keputusan ini benar-benar mengejutkan saya kerana sepanjang tempoh tersebut, saya berasa seolah-olah akan kalah, dihina masyarakat, dan menanggung aib yang besar,” katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.

Aliff berkata, proses ini juga bukanlah sesuatu yang mudah berikutan pelbagai fitnah turut ditanggungnya selama tempoh itu.

“Saya berdepan pelbagai tekanan apabila dihina oleh pihak lawan, difitnah umpama saya ini seorang penjenayah sedangkan saya belum disabitkan kesalahan.

“Nama saya terpampang di televisyen dan akhbar dengan tajuk yang memalukan, malah keluarga dan keturunan saya turut dijadikan bahan cemuhan. Orang tak tahu apa yang saya lalui sepanjang tempoh ini,”katanya.

Aliff turut mengakui bahawa keputusan mahkamah ini disifatkan sebagai satu keajaiban yang tidak pernah dijangka sekali gus memberi pengajaran besar buat dirinya.

“Apabila hakim memutuskan bahawa saya tidak bersalah, saya amat bersyukur kerana ia ibarat satu keajaiban. Saya berjanji kepada diri sendiri untuk berubah menjadi seorang yang lebih baik.

“Tidak akan ada lagi perkara yang boleh menyinggung perasaan orang ramai atau mencetus kontroversi seperti sebelum ini. Keputusan ini bukanlah sebab untuk saya berbangga kerana menang kes, tetapi sebagai pengajaran untuk saya memperbaiki diri,” jelasnya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Bobo Di Mana ini turut mengambil kesempatan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas sebarang isu yang pernah menimbulkan rasa kurang senang sebelum ini.

“Saya ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia di atas apa jua perkara yang mungkin menimbulkan rasa kurang senang sebelum ini. Saya menegaskan sekali lagi bahawa saya tidak bersalah dan dibebaskan sepenuhnya oleh mahkamah.

“Insya-Allah, saya akan terus berusaha menjadi Aliff Syukri yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Untuk rekod, pada 13 Oktober 2022, Aliff mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video perilaku sumbang di akaun Instagram miliknya @aliffsyukriterlajaklaris pada April 2022.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, mahkamah pernah memerintahkan Aliff membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, namun keputusan terbaharu jelas memihak kepadanya.

Kes ini bermula selepas muzik video raya nyanyiannya berdurasi lima minit 23 saat tular dan mendapat kecaman ramai yang mendakwa penampilan penari lelaki lembut dalam klip berkenaan terlalu keterlaluan serta mencemarkan suasana Aidilfitri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN