KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan dan membebaskan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan seorang bekas pegawai agensi sama daripada pertuduhan rompakan berkumpulan wang hampir RM1 juta milik seorang ahli perniagaan warga China, empat tahun lalu.
Hakim Izralizam Sanusi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh iaitu Mohd. Fahmee Mohd. Nor, 43; Muhamad Haffiz Mohd. Radzi, 35, dan Azwan Asli, 40.
Ketika membaca keputusan ringkasnya, hakim itu menyatakan, elemen utama bagi kesalahan rompak berkumpulan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan tidak dipenuhi melalui keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.
“Berdasarkan keterangan mangsa, beliau memberitahu tiga lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai SPRM dan datang ke kediamannya di ibu negara pada pukul 12 tengah hari, 10 Disember 2021 kononnya untuk menyiasat pengubahan wang haram.
“Mangsa mendakwa diugut supaya menunjukkan barang berharga atau berdepan dengan penahanan jika enggan beri kerjasama. Namun, mahkamah berpendapat ia tidak cukup untuk membuktikan elemen ancaman atau ketakutan serta-merta yang menjadi komponen penting dalam kesalahan rompakan,” katanya.
Selain itu, mangsa dalam keterangannya juga mendakwa tidak berasa takut semasa kejadian kerana tidak melakukan sebarang kesalahan.
Isralizam juga menyatakan, dakwaan kononnya salah seorang tertuduh membawa beg galas yang disyaki mengandungi pistol juga hanya bersifat andaian dan tidak disokong dengan sebarang bukti kukuh.
“Ia hanya sangkaan semata-mata dan tidak memenuhi elemen rompakan,” kata hakim itu yang memutuskan barang kes akan dipulangkan kepada pemilik selepas tamat tempoh rayuan.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Fahmee, Muhamad Haffiz dan Azwan didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas harta Kun Gao iaitu wang tunai RM952,690, Yuan 1,225, satu bagasi warna perak dan satu beg jenama Louis Vuitton warna hitam, di kediaman mangsa di Jalan Ampang di sini pada 10 Disember 2023.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aishah Mohamad Zanyuin manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Tan Sri Dzulkifly Ahmad.
Seramai 17 saksi pendakwaan telah dipanggil sepanjang perbicaraan yang bermula pada November 2024.-UTUSAN










