PETALING JAYA: Polis sudah merakam keterangan tiga individu berkaitan kes kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat enam pangsapuri di Kota Damansara, di sini, Khamis lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden M. Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, setakat ini tiga individu tersebut merupakan penghuni rumah yang terdiri daripada ibu saudara, bapa saudara serta rakan kepada ibu mangsa.
Menurutnya, ibunya pula belum dirakam keterangan kerana berada di Perak kerana urusan pengebumian anaknya.
“Kita juga akan merakam keterangan tiga lagi saksi iaitu jiran yang terdengar bunyi terjatuh serta bunyi bising.
“Pegawai penyiasat kes masih dalam tindakan melengkapkan siasatan. Kertas siasatan akan dimajukan ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) setelah semua keterangan dan tindakan selesai diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media semalam melaporkan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat enam pangsapuri di Kota Damansara, di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.42 petang.
Menurutnya, mangsa sebelum itu ditemui orang awam dalam keadaan terbaring di laluan pejalan kaki sebelum kejadian dilaporkan kepada polis.- UTUSAN











