‘Tidak semua orang nampak susah payah kita cari duit’ - Utusan Malaysia

‘Tidak semua orang nampak susah payah kita cari duit’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEJAM celik kini genap 10 tahun Ara Johari bergelar penyanyi. Perjalanan karier seninya sarat turun naik namun tetap berterusan, kalau perlahan pun hanyalah ketika fasa pandemik beberapa tahun sudah.

Ara atau Nurfarrah Izzatie Johari sampai hari ini bekerja keras, mengorbankan keseronokan hidup demi mengembangkan kerjaya dan merencana masa depan.

Baginya, tiada istilah mengambil tempoh bertenang. Selagi dikurniakan kudrat dan kesihatan, dia akan terus bekerja dan berusaha melunasi setiap tawaran persembahan nyanyian.

“Dulu, saya pernah terfikir untuk berehat. Tapi bila dikenang semula, jika saya berhenti sekejap, saya tak akan capai apa yang saya rancangkan.

“Sekarang, saya suka bekerja. Semakin banyak peluang membuat persembahan, semakin seronok rasanya.

“Biarlah saya penat macam mana sekalipun, saya kena terima dan tidak sesekali mengadu domba. Selagi berpeluang cari duit untuk diri sendiri, pasukan dan keluarga, selagi itu saya akan bekerja,” katanya.

Dalam kesibukannya, Ara sedar dia juga perlu masa untuk diri sendiri dan keluarga.

Kerana itu, penyanyi berusia 28 tahun ini tetap meluangkan masa bersama keluarga walau seketika.

“Saya tidak abaikan kesihatan walau sibuk macam mana sekalipun. Kerana itu jugalah saya beli kereta besar, supaya saya boleh berehat di dalamnya.

“Dan sibuk macam mana sekali pun, saya tetap akan luangkan masa dengan keluarga. Hal ini harus diuruskan dengan baik.

“Kalau ada masa terluang, saya akan bawa keluarga bercuti. Sekurang-kurangnya kena luangkan masa dengan mereka,” jelasnya.

PENAT LELAH TERBALAS
Penyanyi lagu Menjaga Jodoh Orang Lain ini sedar yang dia tidak mempunyai pilihan lain selain terus kuat bekerja untuk kelangsungan karier dan masa depan yang baik.

Kata Ara, jika bukan kerana usaha, kariernya dia tidak mungkin berada pada tahap sekarang.

“Masyarakat nampak ramai artis hidup mewah dan banyak duit. Tidak semua orang nampak susah payah kita cari duit.

“Saya sejak dahulu lagi juga banyak keluar daerah untuk bekerja. Jarang sekali berada di rumah. Kerap terbang ke Sabah dan Sarawak untuk membuat persembahan.

“Kepenatan itu yang orang lain tak nampak. Mereka mungkin sangkakan masa bekerja artis fleksibel. Tapi mereka tak tahu masa rehat kami sangat terhad sebenarnya,” kongsinya.

BIJAK URUS KEWANGAN

“Saya pernah boros, langsung tidak menyimpan duit.”

Itu pengakuan Ara mengenai hal kewangan dan perbelanjaannya dahulu. Kini, penyanyi dan pelakon berasal dari Negeri Sembilan ini bersyukur kerana mendapat kesedaran sekaligus membuatkan dia matang dalam menguruskan pendapatan.

“Sebenarnya, fasa pandemik itu benar-benar menyedarkan saya. Masa itu kita semua terkesan bila tak ada pekerjaan dan pada masa sama pendapatan merosot.

“Saya bersyukur kerana sekarang saya lebih beringat, menguruskan pendapatan dan tidak lagi boros seperti dulu.

“Saya juga bernasib baik kerana pengurus karier dan pengurus kewangan saya sekarang pandai mengatur perbelanjaan.

“Sekarang saya bersederhana dalam berbelanja. Tapi sejak dulu pun saya tidak suka bermewah-mewah. Perbelanjaan ikut keperluan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN