Tidak sangka pemeriksaan MRI kesan kanser tahap satu - Zara Zya - Utusan Malaysia

Tidak sangka pemeriksaan MRI kesan kanser tahap satu – Zara Zya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Zara Zya, terkejut apabila pemeriksaan pengimejan resonan magnetik (MRI) yang dilakukan telah mengesahkan dia menghidapi kanser sista (cyst) di tahap satu.

Cerita Zara atau Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 39, pada awalnya dia melakukan pemeriksaan itu bagi tujuan masalah arthritis namun tidak menyangka ia mengesan penyakit yang lebih teruk.

“Saya ada arthritis yang menyebabkan badan sering sakit, susah berdiri atau baring lama, dan tidak boleh angkat berat. Jadi, saya buat MRI untuk masalah itu sahaja.

“Namun, doktor menemui fibroid dan cyst. Tanpa pemeriksaan itu, saya mungkin tidak sedar cyst tersebut sudah berada di tahap satu kanser,” katanya kepada media. 

Dalam pada itu, pelakon Risik Pada Hati itu bagaimanapun bersyukur kerana proses pembuangan kanser telah dilakukan lebih awal sebelum merebak. 

“Alhamdulillah, sudah setahun kanser itu dibuang. Sekarang saya lebih berhati-hati, menjaga pemakanan, gaya hidup dan menjalani fisioterapi.

“Memang saya sedih dan terkejut bila diberitahu tentang kanser, tetapi saya pilih untuk kekal kuat dan positif,” katanya. 

Kongsinya lagi, oleh sebab masalah kesihatan, dia mengambi keputusan berehat panjang kerana ada masanya dia tidak mampu untuk memandu kereta ke set penggambaran.

“Tahun lalu selepas pembedahan memang saya berehat lama. Saya terima tawaran berlakon jika babaknya tidak banyak. Selepas itu saya kembali bekerja secara berperingkat sehingga kini membintangi Bukan Pilihan Hati untuk slot Akasia.

“Syukur juga saya ada pemandu yang membantu. Kalau tiada, mungkin saya menangis kerana tidak mampu memandu untuk ke lokasi penggambaran,” katanya.

Terdahulu, Zara pernah berkongsi telah menjalani pembedahan di bahagian buah pinggang, leher dan tulang belakang tahun lalu.

Doktor kemudian menasihati Zara untuk berehat satu hingga dua bulan untuk memastikan lukanya sembuh bagi mengelak jangkitan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN