Tidak saling mengikuti Instagram, ibu tetap titip ucapan hari lahir buat Anna Jobling - Utusan Malaysia

Tidak saling mengikuti Instagram, ibu tetap titip ucapan hari lahir buat Anna Jobling

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hubungan semakin dingin, pelakon, Anna Jobling dan ibu kandungnya, Ariz Arop kini tidak lagi saling mengikuti antara satu sama lain di Instagram.

Meskipun berlakunya ketegangan dalam hubungan dua beranak itu sejak kebelakangan ini, Ariz tetap menitipkan ucapan selamat ulang tahun buat puteri kesayangannya, Anna, yang kini genap berusia 25 tahun.

“Selamat ulang tahun kelahiran, anak,” tulisnya ringkas.

Ucapan istimewa itu juga dititipkan bersama foto mereka sewaktu pelakon drama bersiri Melur Untuk Firdaus itu masih kecil yang dilihat bahagia dalam hangat pelukan ibunya.

Menjengah ke ruangan komen, perkongsian wanita itu meraih pelbagai reaksi dari warganet di mana ada yang tersentuh, malah ada juga yang mengecam.

Bagaimanapun, rata-rata netizen berharap agar kemelut antara Anna dan ibunya diselesaikan dengan segera secara aman dan harmoni.

“Semoga Anna dan Ariz kembali bertaut semula hingga ke syurga. Ya Allah, lembutkan hati anak beranak ini. Semoga terus bersinar kebahagiaan,” kata seorang pengguna media sosial.

“Sudah puas cuba rosakkan karier anak, jaja aib dia satu dunia lepas itu ucap hari lahir. Peliklah, cuba lagi,” kecam netizen.

“Gaduh macam mana pun anak tetap anak, ibu tetap ibu. Semoga ada penyelesaian yang terbaik buat makcik dan Anna,” kata seorang lagi netizen.

Sejak Isnin lalu, konflik antara Anna dan ibunya menjadi perhatian ramai selepas Ariz memuat naik sebuah perkongsian dirinya berada di balai polis sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi.

Ariz dalam masa sama turut meluahkan rasa kecewa terhadap anaknya yang dikatakan semakin lupa diri itu kerana membuangnya dan melayannya seperti anjing kurap selepas mengeluarkan perintah injunksi.

Selain itu, Ariz mendakwa campur tangan orang ketiga yang dipercayai pihak pengurusan antara punca hubungannya dengan pelakon popular itu semakin dingin.

Bagaimanapun, sehingga kini Anna memilih untuk mengunci mulut dan berdiam diri dari mengulas mengenai isu yang kini semakin hangat menjadi sorotan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN