Tidak peduli siapa terlibat, siasat kematian Zara Qairina - PM - Utusan Malaysia

Tidak peduli siapa terlibat, siasat kematian Zara Qairina – PM

ANWAR Ibrahim pada Karnival Usahawan Tenusu Madani di Kompleks Tenusu Farm Fresh di Larut hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan supaya siasatan kes kematian pelajar sekolah agama, Zara Qairina Mahathir, 13, dijalankan tanpa mempedulikan siapa yang terlibat.

Perdana Menteri memberi jaminan siasatan kes itu dan tidak mahu pelbagai tuduhan liar dilemparkan terhadap kes itu.

“Seorang budak meninggal dunia, maki hamun semua orang. Anak VIP (orang kenamaan), cucu Tuan Yang Terutama (TYT).

“Saya kata kepada polis untuk siasat. Saya sudah beritahu, tidak peduli siapa,” katanya semasa berucap ketika mengunjungi kompleks tenusu syarikat Farm Fresh sempena Karnival Usahawan Tenusu Madani di sini hari ini.

Turut hadir ke program ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Pada 9 Ogos lalu, kubur remaja berkenaan digali semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang dan jenazah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat sebelum dikebumikan kembali.

Kes kematian pelajar itu mencetuskan kontroversi dan spekulasi mendakwa kononnya ada cubaan untuk melindungi pihak tertentu selain dikatakan siasatan tidak dijalankan mengikut prosedur.

Kata Perdana Menteri, masyarakat tidak perlu mengambil sikap untuk bergaduh tentang apa jua perkara.

Anwar sebelum ini memberi jaminan siasatan kematian pelajar sekolah agama itu akan dilakukan secara telus dan melangkaui sempadan politik dengan beliau sendiri mengikuti rapat kes berkenaan serta sentiasa mendapatkan perkembangan semasa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN