KUALA TERENGGANU: Pemandangan ‘penyu galas belakang’ kembali mencuri perhatian pada himpunan RXZ Members 7.0 apabila ribuan penunggang motosikal masih menjadikan patung itu sebagai ‘penumpang setia’ mereka.
Pemandangan deretan penunggang motor Yamaha RXZ dengan patung penyu pelbagai saiz yang digalas di belakang penunggang menghidupkan semula trend ikonik geng RXZ setiap kali berhimpun di Terengganu.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Pasar Payang dan bandar raya Kuala Terengganu di sini, kelmarin mendapati, patung penyu menjadi pilihan utama untuk dijadikan cenderamata dengan majoriti kumpulan penunggang RXZ dari luar Terengganu memborongnya sebagai kenangan.
Seorang peniaga, Mohd Azrol Azahar atau lebih dikenali sebagai Boss Spark, 38, berkata, dia membawa masuk hampir 100,000 patung penyu membabitkan 18 jenis rekaan sempena penganjuran kali ini.
“Kalau tahun-tahun sebelum ini saya hanya sediakan sekitar 50,000 unit tetapi tidak pernah cukup. Tahun ini saya tempah dua kontena penuh dan Alhamdulillah 90 peratus sudah licin dijual,” katanya.
Menurutnya, antara yang paling laris ialah edisi ‘penyu galas belakang’ dengan jualan melebihi 70 peratus, selain rantai kunci patung penyu memakai topi keledar yang turut digemari penunggang untuk dijadikan hadiah kenangan.
Katanya, strategi tempahan besar membolehkan harga dijual lebih rendah berbanding tahun lalu sekali gus mengelakkan rungutan pembeli.
“Untuk penyu galas belakang saiz sederhana yang biasa dijual RM45 sebelum ini, saya turunkan kepada sekitar RM19 hingga RM20 sahaja tahun ini. Ia supaya semua lapisan pengunjung mampu membawa pulang patung penyu sebagai kenangan,” katanya.
Sementara itu, peniaga di Pasar Payang, Syed Syukri Syed Hamid, 40, berkata, fenomena penyu galas belakang turut memberi limpahan rezeki kepada peniaga cenderamata di bandar ini.
Ujarnya, sambutan luar biasa tahun ini jelas membuktikan patung penyu terus menjadi identiti kuat dalam kalangan peminat RXZ.
“Ramai geng RXZ datang beli di Pasar Payang selepas balik dari litar permotoran dan sebelum mereka pulang ke kampung masing-masini.
“Patung penyu memang sinonim dengan Terengganu, jadi mereka nak bawa pulang sebagai tanda kenangan,” katanya. – UTUSAN










