Tiada penyelenggaraan berkala punca budak cedera ketika main papan selaju - ADUN

Tiada penyelenggaraan berkala punca budak cedera ketika main papan selaju – ADUN

SEORANG kanak-kanak patah tulang tangan kanan selepas terjatuh ketika sedang bermain papan selaju di Taman Tuna Skate Plaza, Seberang Jaya, Pulau Pinang, kelmarin.-GAMBAR/FACEBOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Seorang kanak-kanak patah tulang tangan kanan selepas terjatuh pada satu laluan berhalangan yang agak tinggi ketika sedang bermain papan selaju di Taman Tuna Skate Plaza, Seberang Jaya di sini, petang kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Arif Shah berkata, kanak-kanak berusia 12 tahun yang dikenali sebagai Nafiz itu jatuh disebabkan penghadang yang dibina di situ telah lama rosak dan tidak dibaiki.

Beliau berkata, ketika kejadian, Nafiz, seorang atlet muda sukan ekstrem yang berbakat besar dan berpotensi untuk mewakili negeri telah memakai pakaian serba lengkap dengan semua gear keselamatan yang diperlukan untuk bermain.

“Saya benar-benar kecewa kerana isu fasiliti ini (kemudahan yang terdapat di Taman Tuna Skate Plaza) telah saya bangkitkan berkali-kali dalam Sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) dan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD).

“Saya telah memohon supaya pihak bertanggungjawab memastikan bahawa fasiliti ini kekal elok dan selamat untuk digunakan. Malangnya, kelalaian dan kelewatan tindakan akhirnya menjurus kepada berita yang mendukacitakan ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

KEADAAN penghadang yang rosak dan tercabut di Taman Tuna Skate Plaza, Seberang Jaya, Pulau Pinang boleh membahayakan pengguna terutamanya kanak-kanak yang bermain di situ.-GAMBAR/FACEBOOK

Ujar Izhar Shah, beliau juga telah menghubungi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk menyampaikan perkara tersebut agar tindakan pembaikan dan penyelenggaraan dapat dilakukan dengan segera.

“Fasiliti yang dibina dengan tujuan baik ini mesti dijaga, bukan dibiarkan rosak dan membahayakan pengguna,” katanya yang berharap supaya pihak berwajib segera mengambil tindakan, kerana keselamatan pengguna terutamanya kanak-kanak tidak boleh dikompromi.

Tambah beliau, adalah menjadi satu kerugian sekiranya fasiliti yang pernah menjadi tumpuan penggiat sukan ekstrem hasil usaha bekas ADUN Seberang Jaya sebelum ini iaitu Dr. Afif Bahardin dengan kerjasama atlet legenda papan selaju negara, Pa’din Musa semakin terpinggir kerana tiada penyelenggaraan berkala.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN