PASIR SALAK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada kompromi terhadap mana-mana pegawai dan anggota tentera yang didapati bersekongkol membocorkan maklumat keselamatan negara.
Beliau berkata, pendirian itu selaras dengan kenyataan Menteri Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu sama ada sebagai pemberi maklumat atau terlibat secara langsung dalam perbuatan khianat itu.
“Ini soal imej pasukan, apatah lagi kita yang berada di peringkat yang harus menjalankan amanah dengan baik, bukannya menggunakan pangkat mahupun kedudukan dalam pasukan untuk melakukan kerja-kerja di luar lunas undang-undang.
“Jika perkara ini benar-benar berlaku, ia seharusnya dihentikan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Santunan Desa bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Komuniti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Dewan Besar Bandar Baru Felcra Seberang Perak, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang; Pengerusi Komuniti Kemas Parlimen Pasir Salak yang juga Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah, Khairul Azwan Harun dan Ketua Pengarah Kemas, Datuk Hanafiah Man.
Menurut beliau, meskipun penahanan lima pegawai kanan itu mencalar imej pasukan namun ia tidak menjejaskan tahap keselamatan negara.
Malah katanya, penahanan mereka juga disifatkan sebagai pengajaran mahal kepada pasukan keselamatan lain agar tidak membuat pengkhianatan sama.
“Ia tidak akan terjejas (keselamatan negara) tetapi imej (pasukan) akan tercalar dan ini mesti dielakkan dan diketahui oleh mereka.
“Saya fikir mereka mengetahui (kesan) tetapi mungkin mereka tersalah baca seolah-olah pihak penguat kuasa tidak tahu (perbuatan mereka). Saya harap ini akan menjadi satu pengajaran yang mahal untuk pasukan keselamatan lain,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam termasuk seorang warga Indonesia berusia antara 30 hingga 55 tahun ditahan di Lembah Klang sejak Rabu lalu bagi membantu siasatan sindiket penyeludupan di selatan tanah air.
Antara ditahan adalah pegawai kanan dari bahagian perisikan ATM termasuk dua bekas anggota ATM dari bahagian sama.
Difahamkan, pegawai tentera itu adalah mereka yang ditugaskan untuk memantau dan mengekang aktiviti penyeludupan, tetapi mereka dipercayai bersekongkol dengan sindiket penyeludupan itu sejak lima tahun lalu dan disyaki mengumpulkan hasil rasuah sebanyak lebih RM3 juta. – UTUSAN










