KUALA LUMPUR: “Saya pernah menangis macam orang putus cinta gara-gara mahu turunkan berat badan.”
Demikian pengakuan pengacara, Sherry Alhadad yang memaklumkan perjalanannya untuk memiliki berat badan ideal secara organik tidak semudah disangka.
Menurut Sherry, usaha tersebut bukan sahaja memerlukan konsistensi yang tinggi malah mental yang kuat.
“Mereka yang berusaha turunkan berat badan, pasti tahu betapa sukarnya mencapai matlamat itu secara organik. Apatah lagi dengan mengamalkan diet dan senama, itu tidak mudah.
“Saya sudah melakukan pelbagai cara dan agak bergelut jugalah. Kalau macam saya ini, orang kata ‘kategori yoyo’. Berat badan saya naik turun.
“Meskipun mental saya kuat, ada masanya saya akan berputus asa dan persoalkan sampai bila saya perlu melalui proses ini,” katanya.
Ditanya sama ada pihak yang pernah menawarkannya untuk melakukan pembedahan bariatrik, Sherry tidak menafikannya.
Sherry bagaimanapun kekal dengan pendiriannya untuk kurus secara sihat.
“Ada beberapa doktor yang tawarkan pembedahan bariatrik tapi saya tolak dengan cara baik kerana belum tiba masa untuk melakukannya. Memadai turun berat badan dengan menjaga pemakanan.
“Mungkin belum terbuka hati lagi (untuk bariatrik). Rasanya tidak ada keperluan.
“Lagipun, ada pengarah drama dan filem yang menasihatkan saya untuk kekalkan bentuk badan begini kerana pada mereka inilah identiti saya,” kongsinya.
Sherry berkata demikian ketika ditemui di pengumuman Anugerah MeleTOP Era 2025 (AME2025) di sini, baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Sherry bakal mengacarakan AME2025 bersama Nabil Ahmad, Hawa Rizwana dan Namie yang bakal berlangsung pada 12 Oktober depan.- UTUSAN