Sektor pelancongan Hat Yai rugi lebih RM2.58 bilion

Sektor pelancongan Hat Yai rugi lebih RM2.58 bilion

SALAH sebuah hotel di bandar Hat Yai, Thailand yang terjejas akibat banjir besar baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Sektor pelancongan Hat Yai, Songkhla dianggarkan mengalami kerugian sehingga RM2.58 bilion berikutan banjir besar selama enam hari yang melanda bandar itu bermula 22 November lalu.

Presiden Persatuan Industri Pelancongan Halal Thai-ASEAN (TAHTA), Aida Oujeh berkata, ia melibatkan lokasi pelancongan, hasil pendapatan pengusaha hotel, pengangkutan dan kedai makan.

Katanya, kerugian dijangka meningkat tinggi sekiranya sektor pelancongan Hat Yai tidak dapat dipulihkan menjelang akhir Januari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, usaha bersungguh-sungguh sedang dilakukan semua pihak termasuk bantuan kakitangan dari wilayah lain untuk membersihkan bandar Hat Yai dalam tempoh 14 hari.

“Sebelum 20 Disember ini Hat Yai mesti bersih. Semua setor pelancongan boleh bersedia menerima semula pelancong,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Aida berkata, hasil pendapatan pengusaha hotel, pengangkutan dan kedai makan sebelum bencana banjir itu adalah sekitar RM15.48 juta sebulan.

“Pelancong Malaysia sebelum ini adalah penyumbang hasil pendapatan terbesar kepada sektor pelancongan di bandar Hat Yai,” ujarnya.

Sementara itu, President Persatuan Hotel Hatyai Songkhla, Sittipong Sitthiphataraprabha berkata, setakat ini hanya 20 hotel di bandar Hat Yai sudah dibuka kepada pelancong sementara manakala utiliti awam sedang dipulihkan.

Katanya, kerja-kerja pembersihan perlu segera dilakukan menjelang akhir 2025 yang merupakan kemuncak kepada sektor pelancongan di kawasan tersebut selain acara Sukan SEA awal Januari depan.

“Sektor pelancongan, khususnya pengusaha hotel boleh kehilangan hasil lebih RM1.29 bilion jika tidak dapat beroperasi sepenuhnya menjelang Februari tahun depan.

“Di Hat Yai sahaja terdapat lebih 300 hotel yang terjejas teruk akubat banjir baru-baru ini. Kos pembaikan sahaja dianggarkan lebih RM451.8 juta,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN