TUMPAT: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mahu memecahkan tembok salah faham dalam kalangan rakyat terhadap teknologi nuklear yang mengaitkan perkara itu dengan senjata pemusnah.
Timbalan Menterinya, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, penerimaan masyarakat terhadap teknologi itu masih rendah kerana dibayangi persepsi negatif yang diwarisi sejak sekian lama.
“Apabila sebut nuklear, ramai terus membayangkan ia adalah senjata pemusnah. Hakikatnya, ia teknologi yang mampu memberi manfaat besar kepada negara dalam pertanian, perubatan, industri malah sumber tenaga.
“Kita ada perancangan untuk membolehkan rakyat faham bahawa esok, lusa teknologi nuklear mungkin menjadi tenaga yang dibawa kepada masyarakat,” katanya selepas Majlis Perasmian Penutup Program Satelit Teknologi Nuklear Santuni Kasih Rakyat sempena Program Madani Rakyat 2025 di Kampung Pasir Pekan Tengah, di sini hari ini.
Mohammad Yusof berkata, penerokaan dan pembangunan teknologi nuklear tidak boleh dipandang dari sudut negatif kerana ia mempunyai pelbagai aspek yang boleh mendatangkan manfaat seperti penghasilan benih padi dan beras NMR152.
Katanya, MOSTI mahu penerokaan dan pembangunan teknologi nuklear itu dapat menghasilkan manfaat yang bakal digunakan secara meluas oleh rakyat pada masa hadapan. – UTUSAN









