PETALING JAYA: Pelakon, Siti Hariesa, memohon maaf sekiranya ada individu yang kurang selesa dengan sikapnya yang didakwa mempunyai masalah disiplin di lokasi penggambaran.
Jelas Hariesa atau Siti Hariesa Muhammad Hanafi, 27, adakalanya dia terlalu penat untuk bekerja sekali gus menimbulkan salah faham namun berharap ada pihak yang berani menegurnya secara bersemuka.
“Saya tak pernah dengar mengenai perkara itu. Kita ini semua manusia dan sebenarnya saya sudah penat masuk set setiap hari. Saya penat dari segi mental dan fizikal.
“Jadi bukan nak kata saya besar kepala atau apa, tapi ada hari yang saya rasa tiada mood atau penat. Saya rasa semua orang melalui benda itu. Awak tak boleh menafikannya.
“Tapi kalau saya ada buat salah atau apa, saya minta maaf tapi saya kalau ada benda tidak puas hati seperti ini, tegur.
“Semua benda kena tegur, kalau di set ada yang tak okay, tegur dan beritahu saya, jangan cakap di belakang,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon Calon Isteri Untuk Suami itu juga menjelaskan sudah memberikan kerjasama sebaik mungkin di set penggambaran selain menjaga sikap sesama rakan pelakon.
“Semua orang, tak kira umur, mahu memperbetulkan diri, jadi lebih baik luahkan dan beritahu. Tapi manusia berjenis-jenis, saya tak boleh menghakimi soal itu, saya hanya datang set buat kerja saya.
“Saya cuba juga bergaul, bukan nak kata saya introvert, saya pun ada sikap pemalu juga, takkan nak tunjuk perangai teruja dengan orang kali pertama jumpa. Saya masih ada hormat antara satu sama lain.
“Jadi saya tak kata saya tak bergaul, saya okay sahaja tapi kadang-kadang saya tak pandai bercakap. Kadang-kadang saya diam sebab saya tak mahu tunjuk perangai buruk saya, kalau sudah lama, boleh selesa,” katanya.
Terdahulu, timbul dakwaan apabila ada pihak yang mengatakan Hariesa tidak disenangi beberapa artis senior yang gagal menjaga disiplin selain besar kepala. -UTUSAN