Tajaan rakan strategik sempena HKHM 2025 cecah RM22 juta

Tajaan rakan strategik sempena HKHM 2025 cecah RM22 juta

FAHMI Fadzil menerima sumbangan tajaan dari McDonald's Malaysia sempena sambutan HKHM 2025. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah RM22 juta sumbangan penajaan daripada rakan strategik Kementerian Komunikasi diterima hari ini sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sumbangan penajaan yang diterima daripada 113 rakan strategik menerusi Jawatankuasa Penajaan Kementerian Komunikasi itu melibatkan jumlah RM1.9 juta sumbangan wang tunai, manakala RM20.24 juta dalam bentuk barangan dan perkhidmatan.

“Semua sumbangan penajaan yang diterima dalam bentuk wang tunai disalurkan ke Akaun Amanah Sekretariat Merdeka (AASM) dan akan dibelanjakan bagi tujuan persiapan sambutan HKHM.

“Manakala, sumbangan penajaan dalam bentuk barangan pula akan diedarkan dan diagihkan oleh Pasukan Sukarelawan Kementerian Komunikasi kepada orang ramai yang akan menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya serta Hari Malaysia di Dewan PICCA, Butterworth, Pulau Pinang,” katanya ketika berucap sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik Kementerian Komunikasi bagi Program Sambutan HKHM 2025 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, semua penyumbang untuk sambutan HKHM 2025 layak menuntut potongan bagi maksud pengiraan cukai pendapatan berkuat kuasa mulai 1 Mei hingga 16 September ini dengan had sebanyak RM20 juta.

Jelasnya, Kementerian Kewangan telah meluluskan Sambutan HKHM 2025 yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi sebagai satu projek berkepentingan nasional berdasarkan peruntukan di bawah subseksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Selain pelepasan cukai bagi sumbangan tunai, individu dan syarikat yang memberi sumbangan in-kind juga boleh membuat tuntutan potongan sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat pada tahun taksiran semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN