Berbekalkan keserasian vokal dan cinta yang terpahat, pasangan penyanyi, Syamel dan Ernie Zakri menyulam impian mencipta nama sebagai antara pasangan duet serasi seiring aura ikonik gandingan era terdahulu seperti Hail Amir dan Uji Rashid, serta Achik dan Siti Nordiana.
Syamel, 32, berkata, impian itu mula berputik sejak mereka menyertai program Duo Star kira-kira lapan tahun lalu dan dan Anugerah Juara Lagu (AJL), sekali gus mencetuskan fenomena tersendiri melalui lagu Aku Cinta.
“Sebenarnya semasa kami sertai Duo Star, kami sudah mula fikir nak jadikan gandingan kami sesuatu yang lebih daripada sekadar ‘projek duet’.
“Biasanya orang anggap duet ni satu projek sahaja. Tapi kami fikir, apakata kalau kita cipta satu jenama sendiri, jadi lepas era Hail Amir dan Uji Rashid, Achik dan Nana biarlah ada pula Syamel dan Ernie.
“Alhamdulillah, kami dapat kepuasan bila dapat cipta jenama ‘Syamel dan Ernie’ melalui lagu Aku Cinta dan lagu itu pula berjaya ke AJL,” ujarnya.
Namun, disebabkan masing-masing berada di bawah naungan syarikat rakaman yang berbeza, mereka kemudiannya mengambil keputusan untuk memberi tumpuan kepada kerjaya solo masing-masing.
“Selepas kami berpecah label. Ernie ke Universal Music, saya pula bersama Warner Music. Jadi kami ambil keputusan untuk fokus pada kerjaya solo dahulu.
“Alhamdulillah, waktu itu rezeki lebih menyebelahi Ernie. Dia berjaya mengembangkan sayap ke Indonesia, berkolaborasi dengan Hafiz dan ada pelbagai projek termasuk album serta konsert sendiri,” katanya.
Meskipun tidak aktif berduet buat masa ini, Syamel akui bersikap profesional dengan tidak meletakkan sebarang halangan sekiranya isterinya ingin bekerjasama dengan penyanyi lelaki lain, asalkan langkah itu membawa manfaat kepada perjalanan seni Ernie.
“Ernie dah membuktikan perkara itu. Dia pernah berduet menerusi lagu Masing-Masing. Ia sesuatu yang sangat mengagumkan dan merupakan satu rekod yang saya banggakan sebagai suami dan juga rakan artis.
“Ernie juga pernah berduet dengan Hafiz dan lagu itu dipersembahkan dalam banyak anugerah berprestij. Jadi memang terbukti pencapaian Ernie.
“Sebelum semua itu berlaku, kami memang dah bersepakat. Tiada perasaan kecil hati. Kami memang rancang untuk fokus kukuhkan kerjaya solo dahulu.
Tambahnya, meskipun nama isterinya dilihat lebAih menyerlah di peringkat antarabangsa, dia tidak berputus asa untuk mencapai kejayaan setara suatu hari nanti.
“Mungkin belum rezeki saya untuk jadi seperti Ernie. Tapi kami sepakat untuk terus cipta jenama sebagai pasangan duet apabila masa sesuai tiba,” tambahnya.
Sementara itu, Ernie, 33, menegaskan kejayaannya tidak akan bermakna tanpa restu dan sokongan moral daripada suaminya yang sentiasa berada di belakang memberikan semangat dalam apa jua yang dilakukan.
“Saya tidak akan dapat capai semua ini tanpa sistem sokongan kuat daripada suami. Kalau dia tidak izinkan pun, saya takkan boleh menyanyi lagu ‘Masing-Masing’ tanpa restu dia.
“Bagaimana redanya suami untuk saya keluar bekerja dan sentiasa berada di belakang membakar semangat saya, begitulah saya perlu bersyukur,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, pasangan ini bakal beraksi di Konsert Eksklusif Tahun Baharu yang dijadual berlangsung pada 31 Disember depan.
Bagi mereka, ini adalah peluang untuk berinteraksi dengan peminat dalam suasana yang lebih intim dan eksklusif cukup mengujakan.
“Ini bukan sekadar konsert, ini adalah malam yang membolehkan kami berkongsi kenangan, emosi dan suara hati secara langsung kepada peminat.
“Persembahan diharap dapat meninggalkan momen yang akan dikenang sampai bila-bila,” ujarnya.-UTUSAN