Sultan Nazrin rasmi Jambatan Sultan Muzzaffar Shah di Manong - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin rasmi Jambatan Sultan Muzzaffar Shah di Manong

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah merasmikan Jambatan Sultan Muzzaffar Shah di Dataran Manong di Kuala Kangsar hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Tiada lagi isu murid dan pelajar gagal hadir ke sekolah dengan terbinanya Jambatan Sultan Muzzaffar Shah sepanjang 300 meter di Manong, dekat sini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan jambatan tersebut yang menghubungkan Kampung Seberang Manong dan pekan Manong.

Baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Projek jambatan itu dimulakan tahun 2017 dan siap pada Oktober 2019 dengan harga kontrak lebih RM37 juta.

Sebelum ini tanpa jambatan, penduduk terpaksa berulang-alik menggunakan bot tambang sebagai pengangkutan harian untuk menyeberangi Sungai Perak yang memisahkan kampung mereka dengan pekan Manong.

Malah masalah kegagalan pelajar hadir ke sekolah sering kali terjadi apabila bot tambang mengalami kerosakan.

Sekiranya melalui jalan darat akan mengambil masa yang lama dengan jarak sejauh 36 kilometer ke Pekan Manong.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi semasa menyampaikan sembah ucapan berkata, jambatan itu kini menghubungkan dua sisi komuniti yang dahulunya terpisah oleh sungai dan masa.

“Pembinaan jambatan ini juga dapat merangsang pertumbuhan sektor pelancongan, perdagangan dan pertanian setempat, serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk di sekitar kawasan ini,” katanya dalam majlis perasmian di sini hari ini.

Jambatan itu memendekkan jarak dan masa perjalanan dari Kampung Seberang Manong ke pekan Manong yang pada asalnya sejauh 36 kilometer atau 40 minit kepada 3.5 kilometer atau 13 minit sahaja.

Penduduk juga sebelum ini terpaksa menggunakan bot tambang untuk menyeberangi Sungai Perak jika hendak ke pejabat pos, klinik, balai polis dan sebagainya terletak di pekan Manong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN