Cik Bunga ini bukan kerana hendak tambah minyak pada api, tapi lebih kepada mahu tenangkan suasana yang sudah keterlaluan. Apa lagi kalau bukan isu buli yang sedang berleluasa sekarang ini.
Apabila isu buli siber ini turut terpalit kepada pelakon, Sophia Albarakbah, Cik Bunga yakin, ada ramai lagi artis lain yang pernah terkena perkara sama.
Macam isu yang dikaitkan dengan Sophia, Cik Bunga ingatkan sudah reda, tetapi masih ada suara-suara nakal dalam kalangan netizen yang tidak habis-habis mengecam aktres ini.
Ada yang ungkit kisah lama, ada juga yang melontarkan kata-kata sinis yang tidak membina langsung. Macam-macam hal lah netizen ini hendak bicarakan.
Di sinilah Cik Bunga rasa patut kita semua muhasabah. Hal sudah berlalu, Sophia sendiri pun sudah memilih untuk diam, fokus pada kerjaya, dan teruskan hidup.
Tak akan kita sebagai pemerhati dunia seni dan warganet ini masih hendak terus menghukum dan ‘serang’ dia tanpa henti?
Cik Bunga hendak tegaskan, sebagai manusia, kita semua ada salah dan silap. Kalau kita sendiri pun tidak suka dikenang dengan kesilapan lama, kenapa kita mudah sangat menjatuhkan orang lain?
Sophia mungkin bukan sempurna, tapi siapa antara kita yang betul-betul sempurna? Tambahan pula, dia tidak pernah buka mulut panjang lebar menjawab segala tuduhan.
Cuma baru-baru ini sahaja dia ambil langkah berani untuk buat laporan polis atas isu buli siber.
Itu satu bentuk kematangan yang patut dipuji. Bayangkan tekanan yang dia hadapi, tapi masih mampu senyum dan terus bekerja. Kasihan pada Sophia, perjalanan hidup dan kerjayanya juga masih panjang.
Tidak terbayang Cik Bunga jika Sophia tiba-tiba buat keputusan hendak berhenti daripada dunia seni lakon hanya kerana tidak dapat lagi menahan beban emosi gara-gara mulut jahat netizen. Cik Bunga tengok Sophia pelakon berbakat dan sayang kalau segalanya ternoktah. Harapnya tidak.
Jadi, Cik Bunga nasihatkan, hentikanlah kecaman yang tidak berkesudahan itu. Netizen sepatutnya lebih bijak, bukan hanya jadi keyboard warrior yang hebat menghukum. Tidak salah kalau kita pilih untuk bersangka baik, atau paling tidak, diam kalau tiada perkara baik untuk dikatakan.