SJKP bantu komuniti India miliki rumah pertama

SJKP bantu komuniti India miliki rumah pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MIC menggesa komuniti India agar tidak melepaskan peluang menyertai Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) yang diumumkan kerajaan sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia.

Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, skim berkenaan menawarkan pembiayaan sehingga RM500,000 untuk pembelian rumah pertama termasuk yuran guaman, penilaian dan insurans gadai janji.

Beliau berkata, ia sekali gus memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah, bekerja sendiri serta pekerja ekonomi gig untuk memiliki kediaman sendiri.

“Selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan skim ini dalam pembentangan RMK-13, kita perlu memastikan manfaat SJKP sampai kepada komuniti India yang memerlukan.

“MIC menggesa masyarakat dan pemimpin setempat bekerjasama bagi memastikan lebih ramai individu yang layak memanfaatkan skim ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, SJKP yang diperuntukkan sebanyak RM2.5 bilion adalah peluang penting khususnya bagi komuniti India yang sering berdepan cabaran mendapatkan pembiayaan perumahan akibat pendapatan tidak tetap.

“Skim ini dibangunkan supaya mudah diakses oleh pembeli rumah kali pertama termasuk mereka yang bekerja sendiri. Ia juga bertujuan meningkatkan kestabilan kediaman serta keselamatan kewangan komuniti,” katanya. 

Vigneswaran berkata, MIC akan bekerjasama dengan pemimpin akar umbi termasuk ketua-ketua cawangan untuk membantu memudahkan proses permohonan dan meningkatkan kesedaran mengenai manfaat skim itu.

“Dengan kerjasama ini, kita boleh membantu lebih banyak keluarga India merealisasikan impian memiliki rumah dan mengukuhkan peranan komuniti dalam pembangunan sosioekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN