Kerajaan naikkan peruntukan SJKP

Kerajaan naikkan peruntukan SJKP

NGA KOR MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menaikkan peruntukan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) kepada RM40 bilion susulan tambahan RM10 bilion yang diumumkan dalam Belanjawan 2026.

Langkah itu bagi membolehkan lebih ramai rakyat, khususnya golongan tanpa pendapatan tetap, memiliki rumah pertama.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata, usaha memperluas skim berkenaan membuktikan kesungguhan kerajaan memastikan tiada golongan yang tercicir daripada peluang memiliki kediaman sendiri.

“Melalui skim ini, kerajaan menjamin pembiayaan perumahan sehingga RM500,000 bagi setiap pemohon, meliputi pembelian rumah baharu, sedia ada atau lelongan.

“Kita mahu pastikan rakyat tanpa slip gaji tetap seperti pekerja gig, penjaja, pemandu e-hailing dan usahawan kecil turut mampu memiliki rumah sendiri,” katanya menerusi kenyataan.

Kor Ming berkata, sejak diperkenalkan pada 2008, SJKP telah meluluskan sebanyak 95,460 permohonan dengan nilai pinjaman keseluruhan sebanyak RM22.72 bilion setakat 31 Ogos lalu.

Menurutnya, kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan terus bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi kewangan bagi memudahkan proses permohonan serta memperluas capaian skim tersebut di seluruh negara.

“Selain SJKP, kemudahan Step-Up Financing turut diperkenalkan untuk membantu rakyat memiliki rumah pertama tanpa tekanan kewangan yang tinggi pada peringkat awal pinjaman,” jelasnya.

Kor Ming berkata, inisiatif berkenaan juga menjadi sebahagian daripada agenda besar Perumahan Mampu Milik Negara, yang menyasarkan pembinaan 500,000 unit rumah mampu milik menjelang tahun 2030 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Pemilikan rumah bukan sekadar tempat berteduh, ia adalah asas kepada kestabilan dan keharmonian keluarga.

“Kerajaan kekal komited memperkukuh setiap inisiatif perumahan agar setiap keluarga di Malaysia memiliki rumah sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN