Dalam dunia hiburan yang sering dilihat indah di mata khalayak, tidak ramai yang memahami betapa perjalanan seorang penyanyi sebenarnya penuh dengan perit-jerih, pengorbanan dan perjuangan emosi yang panjang.
Dan apabila berbicara mengenainya, hal itu tanpa ragu, diakui oleh penyanyi Misha Omar.
Bagu penyanyi bersuara emas ini, setiap titis air mata dan setiap hela nafas ketika menyanyi adalah sebahagian daripada kehidupannya sebagai insan seni.
“Kalaulah nak cakap mengenai kejujuran, ya, siapa yang tak pernah menangis dalam hati bila teringat perjalanan sendiri? Rasa macam segala jerih perit, belajar vokal, ada momen naik dan turun, segalanya sentiasa tersemat di fikiran.
“Sebab saya ini seorang penyanyi. Dan bergelar seorang penyanyi, awak tak bolehlah sentiasa nak larut dengan segala perasaan dan kecamuk di jiwa itu. Awak ada hidup awak sendiri dan dalam masa yang sama bertanggungjawab menghidupkan nyanyian sendiri.
“Maksud saya perjalanan hidup sebagai orang seni itu memang begitu bukan. Jadi kita yang kena mencari dan mengatur perjalanan itu sendiri, tak boleh nak menipu.
“Saya sedar, ada kalanya, hal peribadi melangkaui perihal kerja-kerja seni kita. Malah adakalanya kita terpaksa meninggalkan urusan kerjaya tadi demi menyelesaikan isu peribadi itu,”katanya.
Mengulas tentang perjalanan vokalnya, Misha tidak menafikan ia melalui fasa pasang surut.
“Nak dapat balik suara yang hilang sebelum ini, itu bukan sekelip mata. Ia perlukan kerja keras, kesabaran dan kerajinan.
“Tapi ilmu banyak membuatkan saya lebih percaya diri. Kalau hari ini nyanyi tak sedap, esok saya akan buat lebih baik.
“Saya lihat setiap cabaran sebagai proses untuk menjadikan diri saya ini seorang insan lebih bersyukur. Orang suka atau benci kita, semuanya refleksi diri.
“Saya rasa puas bila tahu setiap kali saya terlibat dalam apa saja persembahan, saya cuba beri yang terbaik,” ujarnya,”ujarnya.
Bagaimanapun, Misha mengakui terharu dengan sokongan yang ditunjukkan peminat sepanjang lebih dua dekad bergelar anak seni.
Menurut penyanyi kelahiran Kelantan ini, sokongan daripada peminat, keluarga dan pihak media menjadi pemangkin semangat buat dirinya meskipun ada ketika dia berada seperti berada di titik terendah.
“Sepanjang 23 tahun ini, sudah tentu ada ketika saya mempersoalkan mengenai nilai saya di industri ini. Namun, anda semualah yang membuatkan saya terus melangkah sehingga hari ini.
“Ada ketika saya bertanya, adakah waktu saya di industri ini sudah tamat? Adakah ini tahunnya? Saya sebenarnya merelakan sahaja seandainya hal itu terjadi.
“Sebelum ini, saya pernah bagitahu yang saya perlu membuat pilihan sama ada saya perlu ikut suami bekerja atau teruskan kerjaya nyanyian.
“Ada ketika, saya merasakan sudah tiba masanya untuk saya undur diri lebih-lebih lagi ketika suara saya hilang sebelum ini. Ada kalanya, saya takut namun, anda semua jadi penguat semangat saya,” katanya.
Sementara itu, penyanyi lagu Bunga-Bunga Cinta ini juga terkejut dengan sambutan pembelian tiket konsert solonya yang akan berlangsung pada September depan.
“Alhamdulillah, tiket untuk beberapa kategori utama telah habis dijual. Mereka ibarat pirana. Ada yang marah-marah sebab tiket cepat habis. Jangan risau, masih ada lagi tiket untuk kategori-kategori lain tapi jumlahnya terhad.
“Pada saya, ini adalah petanda yang sangat baik. Pada mulanya saya agak risau disebabkan lambakan konsert yang bakal berlangsung pada hujung tahun ini. Alhamdulillah responnya sangat baik,” ujarnya.
Mengulas mengenai persediaan konsert tersebut, Misha memaklumkan dia bakal memulakan latihan intensif bermula Ogos ini.
Katanya, persiapan intensif bakal bermula 60 hari sebelum konsert bermula.
“Ketika ini, saya perlu diet dan rajin bersenam. Persediaan dari segi fizikal itu bukanlah sebab nak ramping semata tapi kena ‘fit’ sebelum konsert berlangsung.
“Saya kena jaga pemakanan dari segi gula, minyak dan minuman berais. Saya juga perlu jalani latihan beban dan berlari. Segalanya akan bermula bulan ini,”katanya.