PUTRAJAYA: Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti dan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan susulan kejadian serangan melibatkan isteri dan anak Rafizi Ramli.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, semua siasatan dijalankan secara adil dan berlandaskan undang-undang, tanpa dipengaruhi oleh status atau latar belakang mana-mana pihak.
Katanya, langkah itu selaras dengan tanggungjawab PDRM memastikan keselamatan dan keadilan untuk semua rakyat termasuk kanak-kanak.
“Keselamatan rakyat adalah keutamaan, dan tiada kompromi terhadap sebarang bentuk keganasan atau ancaman.
“Saya menyeru orang ramai supaya tidak membuat spekulasi dan memberi ruang kepada pihak polis untuk melaksanakan siasatan mengikut undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Saifuddin mengesahkan telah menghubungi dan bercakap sendiri dengan Rafizi sejurus dimaklumkan mengenai insiden ini.
“Saya merakamkan rasa simpati dan keprihatinan yang mendalam kepada Rafizi dan keluarga atas insiden serangan yang melibatkan anak beliau di Putrajaya.
“Saya mendoakan agar anak beliau segera pulih dan keluarga tabah menghadapi ujian ini,” katanya.
Terdahulu, bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendedahkan, anak dan isterinya diserang oleh dua orang lelaki bermotosikal ketika meninggalkan sebuah pusat beli-belah di sini.
Menurutnya, kejadian yang berlaku sekitar pukul 1.45 petang tadi, secara tiba-tiba seorang lelaki mengheret anaknya dan mencucuknya dengan jarum suntikan.
Kata beliau, semakan menunjukkan dua orang lelaki yang menaiki sebuah motosikal telah mengekori kereta isterinya yang pada hematnya telah merancang serangan itu lebih awal. – UTUSAN