KUALA LUMPUR: Penyanyi, Hael Husaini terharu apabila Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, dapat meluangkan masa bernyanyi di konsert sulungnya, Hael Husaini & Repertoire pada Jumaat.
Jelas Hael atau Hal Husaini Razmi, 37, pada awalnya Siti memang tidak dapat memenuhi undangan namun mengesahkan kehadiran dua hari sebelum konsert.
“Kalau nak diikutkan, bukanlah susah untuk meyakinkan Datuk Siti sebab saya tahu beliau akan berikan kerjasama.
“Tapi sebenarnya beliau tidak dapat datang pada awalnya kerana kekangan masa cuma saat akhir beliau hubungi kami dan maklumkan boleh hadir untuk singgah bernyanyi dua hari sebelum konsert.
“Saya rasa itu memang rezeki saya untuk dapatkan beliau dan berikan kejutan walaupun awal-awal mesti ada yang fikir saya nyanyi sumbang,” katanya.
Hael ditemui Utusan Malaysia di konsert Hael Husaini & Repertoire di Zepp Kuala Lumpur pada Jumaat.
Bercerita mengenai caranya ‘melamar’ penyanyi Anta Permana itu, Hael turut meminta kebenaran suami Siti, Datuk Khalid Mohamad Jiwa terlebih dahulu.
“Benda itu normal kerana Datuk Seri Siti Nurhaliza mempunyai suami.
“Jadi kita kita macam ‘man to man’ jumpa minta izin. Paling penting ialah kita dapat kebenaran daripada Datuk Khalid dan Alhamdulillah semua berjalan lancar malam ini.
“Terima kasih banyak kepada pihak pengurusan saya, Datuk Khalid, Kak Rozi (pengurus Siti Nurhaliza) dan semua yang terlibat dalam menjayakan konsert ini,” tambahnya.
Terdahulu, Siti Nurhaliza tampil memberikan kejutan kepada peminat yang hadir dengan menyanyikan lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong iaitu Anta Permana.
Ketika persembahan, Siti Nurhaliza sempat berseloroh menyatakan bahawa Hael ‘bersilat’ ketika meminta izin daripada Datuk Khalid untuk mengajaknya bernyanyi di konsert.
“Maaf tidak boleh lama, saya ada program siaran langsung di televisyen sebentar nanti. Tidak sempat nak tengok persembahan Hael dan Dayang,” kata Siti mengusik.
Menerusi konsert malam tadi, Hael menyanyikan 24 buah lagu hasil ciptaannya bersama penyanyi jemputan seperti antaranya Nadeera Zaini, Wany Hasrita, Nabila Razali, Dayang dan kumpulan Alpha. -UTUSAN