TANJUNG MALIM: Masalah kekurangan bilik darjah yang membelenggu murid Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Rahmatud Diniah Kampung Rahmat, Changkat Sulaiman, dekat sini mendapat perhatian kerajaan negeri selepas laporan mengenainya disiarkan Utusan Malaysia pada 30 Jun lalu.
Guru Besar, Ahmad Syairozi Muhamed berkata, pihaknya lega apabila isu itu mendapat maklum balas positif dan kerajaan negeri meminta sekolah mengemukakan semula permohonan rasmi bagi pembinaan bangunan tambahan.
“Benar, masalah ini sudah dibawa ke peringkat kerajaan negeri dan mereka sedang berusaha mencari jalan penyelesaian. Kami telah menghantar semula permohonan baharu mengikut spesifikasi yang diminta dan kini hanya menunggu keputusan.
“Kami amat berharap permohonan segera diluluskan agar bangunan tambahan dapat dibina demi keselesaan murid,” katanya.
Isu kekangan bilik darjah di sekolah itu sebelum ini mencuri perhatian apabila tular gambar murid menjawab soalan peperiksaan di luar bilik darjah.
Ia mencetuskan simpati orang ramai serta membuka mata pihak berwajib mengenai kesungguhan pelajar SRAR Rahmatud Diniah menuntut ilmu meskipun berdepan kekangan prasarana.
Sementara itu, SRAR Rahmatud Diniah menampung seramai 144 murid Tahun 1 hingga Tahun 6 dengan hanya tiga bilik darjah tersedia dan keadaan itu memaksa murid berkongsi kelas, termasuk Tahun 1 dan Tahun 2 belajar serentak dalam satu bilik.
Situasi lebih sukar ketika musim peperiksaan apabila murid terpaksa menduduki ujian di luar bilik darjah kerana ruang tidak mencukupi.
Ahmad Syairozi berkata, sewaktu musim peperiksaan pertengahan tahun lalu, murid terpaksa menjawab soalan di bawah pokok dan koridor sekolah. – UTUSAN










