Saya tunggu permintaan maaf daripada dia - suami Zehra Zambri kesal dituduh abai anak - Utusan Malaysia

Saya tunggu permintaan maaf daripada dia – suami Zehra Zambri kesal dituduh abai anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: “Saya terkilan apabila dia tuduh saya jenguk anak di hospital untuk buat content media sosial semata-mata.”

Demikian penjelasan suami Zehra Zambri, Nur Mohd Iqwan Samsudin yang menjawab dakwaan kononnya dia mengabaikan dan sengaja tidak menziarah anaknya.

Menurutnya, dia kesal apabila dituduh sedemikian sedangkan kedatangannya ke hospital Julai lalu adalah untuk melepaskan kerinduan terhadap anaknya, Zahiyah Iqleela.

“Saya tunggu permintaan maaf daripada dia kerana membuat dakwaan sedemikian. Kalau dia enggan (minta maaf), tidak mengapalah, tiada paksaan.

“Mengenai tuduhan saya ini ghaib dan tidak memberi maklum balas apabila dihubungi, bukan begitu sebenarnya.

“Saya ada sahaja, boleh dihubungi pada bila-bila masa, sama ada di tempat kerja, mahupun di rumah,” katanya yang ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, pagi tadi.

Hadir sama ialah Zehra yang ditemani bapanya, Zambri Ahmad dan peguam, Abd. Muiz Samsuri.

Nur Mohd Iqwan selaku defendan bersetuju untuk melepaskan Zehra sebagai isterinya selepas menemui kesepakatan menerusi proses tahkim yang diadakan di mahkamah tersebut.

Hakim bagaimanapun telah menetapkan 20 Ogos ini sebagai tarikh untuk Nur Mohd Iqwan melafazkan cerai disebabkan Zehra kini tidak berada dalam keadaan suci.

“Insya-Allah, kami akan bercerai. Ini adalah keputusan muktamad, saya sedia melepaskan Zehra.

“Cuma hari ini, wakil lantikan kami sepakat bahawa berlaku syiqaq (pergaduhan berpanjangan), justeru telah ditetapkan akan berlaku perceraian.

“Saya sebenarnya sudah bersedia melafazkan cerai hari ini, tapi keadaan Zehra tidak suci.

“Justeru hakim menasihatkan kami bercerai pada 20 Ogos ini. Kami akan hadir semula ke mahkamah ini untuk lafaz talak raji’i,” katanya.

Nur Mohd Iqwan Samsudin, 42, menafikan dakwaan bahawa dia mengabaikan anak sebaliknya mendedahkan mengalami kesukaran untuk berhubungg dengan cahaya matanya apabila Zehra menyekat nombor telefonnya.

“Saya ini agak sibuk, bila tanya khabar anak, ada juga nyatakan hasrat untuk berjumpa anak.

“Tapi, macam mana kami nak berjumpa, nombor telefon saya pun dia sekat. Jadi Zehra mungkin boleh unblock untuk membolehkan saya bercakap dengan anak,” ujarnya.

Zehra pada Mac lepas memfailkan permohonan cerai dengan lima tuntutan termasuk dakwaan berhubung nafkah serta terjadinya keganasan rumah tangga.

Mahkamah menerusi hasil keputusan Jawatankuasa Pendamai pada 14 Julai lalu mendapati berlaku Syiqaq (pergaduhan berpanjangan) antara pasangan suami isteri tersebut.

Untuk rekod, Zehra dan Iqwan berkahwin pada 10 November 2021. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Zahiyah Iqleela. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN