Saya tidak pernah boikot McDonald’s – Mufti Wilayah Persekutuan

Saya tidak pernah boikot McDonald’s – Mufti Wilayah Persekutuan

AHMAD Fauwaz Fadzil menyaksikan penyerahan zakat korporat daripada Azmir Jaafar (kanan) kepada Abdul Hakim Amir Osman (kiri) di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil memberitahu, beliau tidak pernah mengambil tindakan memboikot restoran makanan segera, McDonald’s kerana ia menjadi contoh perniagaan yang mementingkan dua aspek ekonomi Islam iaitu keberkatan dan keuntungan.

Beliau berkata, McDonald’s menunjukkan istiqamah dalam memperkasakan ekonomi umat Islam dalam melebarkan sayap perniagaan mereka untuk tujuan itu.

Dalam hal ini, katanya, pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan akan menyokong mana-mana badan korporat yang mempunyai hasrat murni untuk membantu ekonomi umat Islam dengan dua aspek tersebut.

“Saya menyatakan dua aspek ini supaya masyarakat dan McDonald’s atau mana-mana syarikat korporat menitikberatkan  tentang dua unsur penting dalam perniagaan Islam iaitu keberkatan dan keuntungan.

“Kalau peniaga hanya mengutamakan aspek keberkatan sahaja juga tidak betul kerana keberkatan hanya untuk ketenangan dan mendapat kehidupan yang aman dunia dan akhirat,

“Tetapi untuk bayar cukai dan membayar zakat yang sehingga kini berjumlah RM14 juta oleh McDonald’s, bemakna keuntungan ini mempunyai neraca yang tersendiri.  Zakat dapat ditunaikan dengan memerlukan keuntungan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyaksikan penyerahan zakat korporat McDonald’s Malaysia sejumlah RM300,000 yang disumbangkan kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Penyerahan itu disempurnakan Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar kepada Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman di sini hari ini.

Fauwaz berkata, kejayaan McDonald’s hari ini adalah sumbangan semua pihak dan setiap kejayaan yang diperoleh tidak pernah berlaku sendirian, malah hasil sokongan orang ramai dan ia dikembalikan semula oleh syarikat ini sebagai nikmat kepada masyarakat.

“Dan hari ini saya ucapkan tahniah kepada McDonald’s kerana melaksanakan tugas dan menyatakan asas kelestarian umat.

“Bayangkan 20,000 orang Islam yang bekerja di McDonald’s mampu menyelamatkan keluarga mereka, mampu untuk makan dan hidup, mampu untuk beribadat, mampu untuk membahagiakan keluarga dan kebahagiaan tidak akan datang melainkan dengan dua perkara iaitu takwa dan duit.

“Takwa sahaja tidak cukup, duit sahaja tidak cukup. Takwa tidak menambahkan ekonomi tetapi memberkati ekonomi. Yang menambahkan ekonomi adalah bekerja dan memberikan peluang pekerjaan serta perniagaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN