KUALA LUMPUR: Pelakon, Syafiq Dharma tegas menafikan dakwaan dirinya menumpang nama bapanya yang juga aktor veteran, Dharma Harun Al-Rashid demi meraih tawaran lakonan.
Syafiq atau Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 36, berkata, dia sudah mula membina nama dalam industri seni sebelum kisah bapanya tular menjadi perhatian ramai.
“Saya sudah mula menceburi bidang lakonan sejak 17 tahun lalu. Saya juga ada muncul dalam beberapa naskhah seperti Kisah Benar, video muzik Datuk M Nasir dan Bunga Isme.
“Mungkin saya banyak melibatkan diri sebagai watak sampingan sebab itu orang tidak begitu mengenali saya. Saya harap orang melihat bakat saya dan bukannya siapa saya.
“Saya tidak menumpang nama ayah untuk dapatkan tawaran lakonan,” katanya ketika ditemui di set penggambaran telefilem Ayah di Pusat Jagaaan Harian Warga Tua, Cheras, pada Isnin.
Tegas Syafiq lagi, dirinya juga merupakan pelajar lepasan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) yang sememangnya sedia mengasah bakatnya sebagai anak seni.
“Sekiranya saya tidak ada bakat, tentunya ASWARA tidak ambil saya sebagai pelajar mereka. Kalau ada yang kata saya tumpang nama ayah, macam pelik sikit sebab saya memang belajar cara lakonan yang betul.
“Namun, tidak dinafikan kisah ayah sedikit sebanyak menaikkan nama saya,” jelasnya.
Bakal membintangi naskhah terbitan A.Aida Production, Syafiq mengakui dirinya tidak terlepas dari tekanan apabila ramai pihak yang sudah mengenalinya sebagai anak kepada seorang pelakon lagenda.
“Orang ingat macam senang apabila bawa nama bapa, tapi sebenarnya bukan mudah kerana nama Dharma sudah sangat bagus.
“Jadi saya perlu menjaga disiplin dan tidak boleh datang lambat. Saya juga kena pastikan dah hafal skrip sebelum ke set dan pastikan semuanya perlu sempurna,” katanya.