PETALING JAYA: Walaupun tidak begitu rapat dengan Amir Raja Lawak, selebriti, Zizan Razak mengakui terpanggil untuk menghulurkan bantuan atas dasar kemanusiaan.
Namun begitu, Zizan atau Mohd. Razizan bin Abdul Razak, 41, tidak menyangka tindakannya itu mencuri perhatian ramai selepas dikongsikan Amir di media sosialnya, baru-baru ini.
“Sebenarnya, Amir tak cari saya pun. Saya yang mesej di Instagram tanya bagaimana keadaan dia seperti yang anda lihat itulah. Walaupun dia dengan saya tidaklah rapat sangat tapi kami lahir dari program sama iaitu Raja Lawak.
“Tapi bukan rakan-rakan artis sahaja yang perlu dibantu, orang-orang luar yang kita tak kenal pun boleh sahaja kita bantu, apalah sangat. Allah bagi rezeki bukan 100 peratus untuk kita. Ada dalam bahagian rezeki kita perlu dibahagikan. Bukan mahu tunjuk bagus tapi demi kebaikan bersama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Namun begitu, pelakon Polis Evo itu juga gusar sekiranya niat baik itu disalah anggap atau menimbulkan perasaan riak dalam hati.
“Saya takut sebenarnya, kalau boleh selepas saya dah derma, mahu diam-diam sahaja. Tapi kalau diam-diam mungkin orang tak nampak kerja saya. Saya bukan nak suruh orang nampak saya baik, tapi cukuplah kalau memberi inspirasi.
“Nak bantu orang bukan soal duit sahaja, kita ada tangan, tenaga dan suara. Benda-benda ini pun boleh bantu orang sekeliling kita. Tapi saya takut mungkin ada pihak yang lihat benda ini sebagai riak, sebab itu saya tak mahu komen atau diam sahaja.
“Kalau mereka yang menerima pertolongan saya itu mahu hebahkan itu hak mereka, saya hanya buat yang terbaik,” ujarnya.
Terdahulu, Amir Raja Lawak, terharu apabila ada rakan artis yang mahu menghulurkan bantuan termasuklah selebriti, Zizan Razak.
Menerusi tangkap layar yang dikongsikan menerusi Facebook, Zizan bertanya keadaan kesihatan bapa Amir dan terus meminta nombor akaun untuk menghulurkan bantuan kewangan.
Sebelum ini Amir mendedahkan bapanya menghidap kanser usus dan mendesak syarikat stesen televisyen melunaskan hutang berjumlah RM18,000 untuk membiayai kos rawatan bapanya.
Amir turut mendedahkan bahawa beliau pernah menjual kereta Proton Juara demi menampung keperluan harian dan rawatan bapanya. -UTUSAN