KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Amira Othman, 32, tampil menjernihkan salah faham berhubung dakwaan bahawa dia mengetahui kata laluan telefon bimbit milik Fattah Amin, yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Menurut Amira, pada awalnya, dia tidak menyedari apa yang berlaku yang turut menjadi bahan bualan ramai di media sosial sehinggalah menonton semula rakaman video yang menjadi tular.
“Saya tengok balik video itu. Sebenarnya, saya tak tekan pun kata laluan telefon dia (Fattah). Masa Fattah bagi telefon itu, ia memang sedia terbuka (unlocked).
“Cuma saya terlupa waktu itu kerana sedang fokus mendengar penerangan produk. Sebab itu bila soalan itu ditanya kepada saya kemudian, saya sendiri jadi tertanya-tanya semula, bagaimana timbul persepsi kononnya saya menekan kata laluan telefon bimbit dia,” katannya.
Amira berkata demikian semasa ditemui di Majlis Pelancaran Wajah Baharu Butik Amber di Wangsa Walk, di sini, semalam.
Jelas Amira, kekeliruan itu berpunca daripada tanggapan warganet yang menyangka dia cuba mengakses telefon Fattah pada waktu itu.
Bagaimanapun, kata Amira, apa yang dilakukannya cuma menyentuh dan melungsur (slide) skrin telefon berkenaan tanpa menekan sebarang kata laluan.
“Bila tengok balik video itu, baru saya teringat yang saya cuma ‘slide’ sahaja. Bagi saya beginilah, telefon dia, milik dia. Telefon saya, milik saya.
“Biasanya kalau saya tengok pun, telefon dia memang sudah dalam keadaan tidak berkunci. Tak ada apa-apa pun sebenarnya,” ujarnya.
Tidak cuma itu, pelakon yang popular dengan drama Abang Bomba I Love You itu menegaskan, tindakan memegang telefon Fattah ketika itu tidak lebih daripada urusan kerja sebagai rakan setugas.
Malah, akuinya, dia tidak pernah sesekali menceroboh ruang peribadi aktor berkenaan.
“Saya pegang telefon dia pun sebab rakan kerja. Bila kita selesa bekerja bersama, isu pegang telefon itu tidak timbul.
“Kadang-kadang bila siaran langsung (live), kita cuma tengok komen atau semak lirik sahaja. Saya tak pernah buka perkara yang membabitkan peribadi.
“Saya hormat privasi Fattah, begitu juga dia hormat privasi saya,” katanya.
Terdahulu, melalui platform TikTok, tular satu video memaparkan Amira yang dikatakan mengetahui kata laluan telefon bimbit milik Fattah.
Kejadian itu diketahui oleh peminat ketika penyanyi dan pelakon terbabit melakukan livedi platform TikTok.