PETALING JAYA: Bagai tiada kesudahan, ibu kepada pelakon, Anna Jobling, Ariz Arop tampil mempertahankan dirinya susulan pendedahan yang dimuat naik oleh peguam anaknya, Wan Nurliyana Abdul Rahman, malam tadi.
Menerusi sebuah hantaran di Instagram Story, Ariz menafikan dakwaan bahawa dirinya mengamuk selepas pelakon itu dibawa keluar oleh peguamnya dari pacuan empat roda tersebut.
“Elok saja keluar dari kereta, lepas itu kunci mak dalam kereta. Kau orang ada dengar ke kami menjerit-jerit, ada ke macam trauma histeria ke? Tiada.
“Mereka bawa anak saya keluar, perlahan-lahan berjalan keluar dan ada ke dengar menjerit-jerit masa mereka bawa dia keluar itu? Pun takda,” katanya.
Bagai kesal dengan tindakan yang dilakukan oleh anaknya, Ariz turut mengeluarkan kenyataan yang berbaur sindiran seakan terlupa bahawa Anna merupakan seorang pelakon.
“Terlupa, anak saya pelakon,” katanya ringkas.
Dalam masa sama, ibu kepada pelakon drama Melur Untuk Firdaus itu turut memuat naik video yang memaparkan dirinya dikunci dari dalam kereta selepas Anna dibawa keluar oleh peguamnya.
“Dengar baik-baik. Bunyi kereta dikunci dari luar. Yang tanya kenapa tidak buka tingkap, lihat sendiri enjin mati mana boleh boleh buka.
“Boleh dengar dengan jelas bunyi terkunci,” ujarnya.
Sebelum ini, peguam kepada Anna, Nurliyana menafikan dakwaan bahawa pihaknya menghalau Ariz selain menegaskan bahawa kereta tersebut masih boleh dibuka dari bahagian dalam.
Konflik dua beranak itu mula menjadi sorotan hangat selepas Ariz memuat naik perkongsian dirinya berada di sebuah balai polis selepas menerima perintah injunksi yang difailkan oleh Anna.
Lebih menyedihkan, Ariz turut mendakwa bahawa dirinya dilayan seperti anjing kurap oleh anaknya sendiri biarpun pernah berkorban harta dan tenaga demi memastikan kesenangan hidup pelakon filem Lembayung itu.
Difahamkan, perintah injunksi tersebut difailkan oleh aktres yang semakin meningkat naik itu selepas mendakwa ibunya sering berkelakuan kasar dan memukulnya.