Saya akan gunakan saluran undang-undang - Fattah Amin

Saya akan gunakan saluran undang-undang – Fattah Amin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelakon popular, Fattah Amin, sekali lagi menjadi tumpuan apabila namanya dikaitkan dalam isu tular melibatkan rumah tangga pasangan pempengaruh baru-baru ini.

Perkara itu telah mengundang pelbagai spekulasi serta tuduhan netizen di media sosial sekali gus menjejaskan nama baik Fattah.

Mengulas mengenai kontroversi berkenaan, Fattah yang merangkul trofi Selebriti Maskulin Terhangat pada Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025) semalam menegaskan, dia enggan melatah dan menyerahkan sepenuhnya urusan tersebut kepada pihak pengurusan serta saluran undang-undang.

Menurut bintang drama Lelaki Melayu Terakhir itu, pada awalnya dia tidak menyedari namanya dikaitkan dalam isu berkenaan sehinggalah dimaklumkan oleh pihak pengurusan yang turut menerima aduan daripada peminat.

“Sebenarnya saya pun tidak perasan tentang isu tersebut. Pihak pengurusan yang ambil maklum dan ada juga peminat prihatin memanjangkan perkara ini.

“Kalau ada fitnah atau tuduhan yang tidak berasas, pihak pengurusan saya akan ambil tindakan.

“Jika perlu, memang kita akan gunakan saluran undang-undang,” katanya pada sidang media AMT 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.

Bekas suami kepada pelakon Nur Fazura itu menegaskan, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan fitnah berkenaan kerana ia boleh menjejaskan nama baik serta kredibilitinya.

“Perkara itu kini sedang diuruskan oleh pihak pengurusan dan peguam saya. Kita tidak mahu fitnah ini berlarutan kerana ia boleh menimbulkan cerita-cerita tidak benar yang lebih serius.

“Saya akan terus bekerja untuk peminat dan klien. Sama ada ia beri kesan atau tidak, pihak pengurusan yang akan menilai. Kalau mereka rasa ia boleh menjejaskan kerjaya, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.

Selain itu, Fattah turut tidak menolak kemungkinan terdapat pihak tertentu yang cuba mencalarkan reputasinya.

“Daripada apa yang diberitahu pihak pengurusan, memang ada segelintir pihak yang cuba menjatuhkan imej saya. Tapi saya tidak takut kerana negara kita ada undang-undang,” katanya.

Dalam masa sama, penyanyi lagu Wanita Terakhir itu menganggap gosip dan kontroversi sebagai lumrah kehidupan seorang anak seni yang sudah menceburi industri hiburan lebih sedekad.

“Sebagai anak seni, kita tak akan terlepas daripada gosip dan kontroversi. Tak boleh harap sepanjang 10 atau 15 tahun semuanya positif sahaja.

“Kadang-kadang ada orang tak senang melihat kejayaan kita. Tetapi saya tak mahu fokus pada perkara negatif. Biar pihak pengurusan yang uruskan,” katanya.

Dalam pada itu, Fattah turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada para peminat yang tidak putus-putus memberikan sokongan sehingga berjaya membawa pulang trofi di AMT 2025.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN