PETALING JAYA: Bagai memberi teguran halus, perkongsian penyanyi, Shila Amzah sekali lagi menuai perhatian dalam kalangan warganet.
Menerusi sebuah hantaran di Threads, Shila berpesan agar setiap individu kekal fokus menjalani kehidupan masing-masing dan memilih pasangan hidup yang tepat.
“Satu demi satu drama berlaku. Fokus sahaja pada kehidupanmu. Kekalkan bulatan kamu yang rapat.
“Pilih suami yang tepat. Akhirnya, kita ada hak untuk memilih. Buat pilihan yang betul, untuk diri sendiri,” katanya.
Dalam hantaran sama, penyanyi lagu Memori Tercipta itu turut menasihatkan untuk menjalani kehidupan tanpa sebarang tekanan selain mendapatkan bantuan terapi jika memerlukan.
“Berhenti sabotaj diri sendiri. Menyalahkan orang lain untuk segala-galanya bukanlah cara hidup yang betul.
“Tarik nafas dalam-dalam, jika perlukan bantuan, carilah bantuan. Dapatkan pakar terapi. Hidup ini bukan untuk jadi sempurna, dan itu tidak mengapa,” ujarnya.
Meskipun tidak memetik nama mana-mana individu, perkongsian spontan itu secara tidak langsung menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen.-UTUSAN