Sambung semula ‘tali yang terputus’

Sambung semula ‘tali yang terputus’

PELAJAR daripada pelbagai lapisan kaum terus kekal erat seperti keluarga dan sentiasa meluangkan masa bersama-sama di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) Arau, Perlis semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perpaduan di Malaysia kini berada dalam keadaan yang cukup rapuh dengan media sosial menjadi antara medan utama memperlihatkan betapa mudahnya sentimen perkauman dan keagamaan disebarkan tanpa fakta sehingga mencetuskan kebencian.

Pengarah Institut Kajian Strategik dan Komuniti Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Madya Dr. Hanum Hassan berkata, ramai dalam kalangan generasi muda membesar dalam persekitaran terbatas iaitu hanya bergaul serta mengenali budaya kaum sendiri dan jarang sekali berpeluang memahami cara hidup masyarakat lain. 

Kata beliau, akibatnya mereka mudah terpengaruh dengan stereotaip dan prasangka kerana tidak belajar untuk menghormati perbezaan.

Lebih menyedihkan katanya, retakan keharmonian kaum tersebut bukan hanya berlaku dalam kalangan golongan dewasa namun sudah meresap ke dalam jiwa anak muda. 

“Jika dahulu, Malaysia pernah menjadi contoh dunia daripada segi perpaduan ini. Meskipun Malaysia negara kecil berbanding Amerika Syarikat (AS), India atau China yang dihuni pelbagai kaum, agama dan budaya, namun tetap berdiri teguh atas semangat perpaduan.

“Namun hari ini, kita semakin gusar apabila media sosial, kedai kopi, bahkan di ruang politik, suara-suara perpecahan semakin lantang menggugat akar keharmonian telah lama kita bina. Apakah kita sedang melupakan janji kepada negara dengan membiarkan perbezaan menjadi jurang memisahkan, bukan jambatan menyatukan?.

“Hal ini kerana, kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang sepatutnya menjadi kekuatan negara ini juga boleh menjadi titik kelemahan jika tidak diurus dengan bijaksana,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, bagi memperbaiki perpaduan memerlukan peranan semua pihak antaranya seperti orang politik yang perlu berhenti menggunakan isu kaum dan agama sebagai modal atau senjata politik.

Ujarnya, golongan muda perlu menjadi ejen kepada perubahan, aktif dalam program silang budaya, dialog antara kaum dan aktiviti kemasyarakatan agar mereka membesar dengan jiwa yang terbuka dan inklusif.

“Malaysia bukan milik satu kaum, satu agama atau satu bahasa. Ia milik kita semua. 

“Jika kita benar-benar cintakan negara ini, maka kita mesti berani menyambung semula tali yang mula terputus ini (perpaduan). Hanya dengan itu, Malaysia akan terus menjadi rumah yang aman untuk semua,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN