Saifuddin akan merayu keputusan saman fitnah

Saifuddin akan merayu keputusan saman fitnah

SAIFUDDIN Nasution Ismail (kiri) dan Sanusi Md. Nor (kanan)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar yang mendapati beliau memfitnah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Saifuddin berpendirian bahawa terdapat asas undang-undang yang kukuh untuk dirayu setelah meneliti keputusan tersebut bersama pasukan guamannya.

“Saya telah mengarahkan peguamcara saya untuk segera memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. Saya juga akan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan berkenaan sementara menunggu proses rayuan selesai.

“Sebagai seorang yang menghormati prinsip keluhuran undang-undang, saya percaya sistem kehakiman negara akan memberikan ruang yang adil bagi saya mengemukakan hujah dan mempertahankan kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata, beliau menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi dan menghargai pihak mahkamah atas perhatian, masa dan pertimbangan yang telah diberikan sepanjang prosiding berlangsung.

Beliau pada masa sama turut menegaskan bahawa segala kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini adalah berasaskan tanggungjawab dalam menyuarakan isu-isu kepentingan awam. 

“Saya akan terus berpegang pada prinsip bahawa keterbukaan, integriti dan kebertanggungjawaban adalah asas penting dalam amalan demokrasi,” katanya.

Terdahulu, Hakim Dr. John Lee Kien How @ Mohamad Johan Lee memutuskan Saifuddin perlu membayar ganti rugi berjumlah RM600,000 kepada Muhammad Sanusi berhubung saman fitnah isu kecurian unsur nadir bumi (REE) dan dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris), dua tahun lalu.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu diperintahkan membayar ganti rugi global sebanyak RM600,000 dan kos sebanyak RM70,000.

Saifuddin turut diperintahkan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Muhammad Sanusi dengan ia perlu diterbitkan masing-masing di sebuah akhbar bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman dan beberapa tuntutan lain.

Kes itu berkaitan ceramah dalam Program Jelajah Madani sempena PRN Kedah yang mengandungi fitnah terhadap Muhammad Sanusi mencuri REE dan didenda RM500,000 pada 15 Julai 2023, serta sidang akhbar bertarikh 14 Julai 2023 yang membuat tuduhan bahawa beliau telah menyalahgunakan dana Marris berjumlah RM1.6 bilion.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN