KUALA TERENGGANU: Dakwaan wujudnya ‘pasukan sorak’ yang dikaitkan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika berlangsungnya acara permotoran RXZ Members di Gong Badak, di sini semalam disifatkan sebagai fitnah dan tidak berasas.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu, Mohd. Soud Said berkata, dakwaan dibuat pihak tertentu itu hanyalah satu bentuk manipulasi fakta bagi tujuan politik murahan.
“Individu-individu yang berada di barisan hadapan pentas semasa acara tersebut hanyalah rakyat biasa, peminat dunia permotoran yang hadir secara sukarela untuk menyokong dan memeriahkan program. Mereka bukanlah pasukan yang diarahkan oleh mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sorakan yang kedengaran sepanjang acara itu hanyalah manifestasi semangat komuniti yang mahukan suasana santai dan harmoni, bukannya medan politik.
“Mereka hanya menzahirkan rasa tidak senang terhadap usaha pihak luar yang cuba mempolitikkan acara komuniti seperti ini,” katanya.
Mohd. Soud menyifatkan tuduhan terhadap Menteri Besar itu hanyalah cubaan untuk ‘mengalih tiang gol’ oleh pihak yang kecewa dengan sambutan luar biasa daripada rakyat terhadap acara tersebut, selain kegagalan mereka meraih sokongan massa.
Acara RXZ Members yang berlangsung di Kuala Terengganu baru-baru ini puluhan menarik ribuan peminat motosikal dua lejang dari seluruh negara, dan disifatkan sebagai antara perhimpunan permotoran terbesar tahun ini. – UTUSAN